PETALING JAYA – Akibat daripada pandangan Datuk Seri Vida (DSV) yang mahu segelintir orang yang kehilangan pendapatan tidak berharap kepada ‘bendera putih’, Pengasas Jamu Ratu Malaya, Bonda Rozita Ibrahim tampil membidas pendapat DSV di akaun Instagram miliknya pagi tadi.
Menerusi gambar yang dimuat naik Bonda Rozita memaparkan keratan sebuah artikel mengenai pandangan DSV yang mengatakan rakyat jangan malas dan mengharapkan bantuan bendera putih sahaja yang sebelum ini tular di semua platform media sosial.
Menurut Bonda Rozita, dia tidak bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh DSV yang mengatakan rakyat malas bekerja ketika waktu negara sedang mengalami pandemik Covid-19.
“Bukan isu rakyat malas bekerja pada waktu begini. Jika dilihat, dahulu sebelum datangnya Covid-19, tiada sesiapa pun yang angkat bendera putih minta bantuan makanan.
“Tidak semua orang yang susah suka meminta-minta. Ayat malas itu amatlah tidak sesuai digunakan ketika hampir ke semua masyarakat sedang tertekan. Kita simpati, tetapi kita juga perlu ada rasa sensitif kerana lain orang lain yang dia rasa.
“Jika mahu muat naik sesuatu di laman sosial juga perlu berhati-hati untuk menjaga perasaan dan hati semua orang. Rakyat tolong rakyat, kita tidak mahu ada yang kelaparan dan bunuh diri,” jelas beliau di ruangan kapsyen.
Beliau menambah, beliau turut berasa sedih apabila melihat keadaan masyarakat yang terputus bekalan makanan dan beliau faham akan situasi rakyat kerana mereka sebenarnya tidak suka meminta-minta.
“Semua orang mahu bekerja dan tidak mengharapkan duit dari kerajaan. Malahan, kita semua sudah berusaha. Apa yang saya risau adalah terhadap golongan yang tertekan apabila memikirkan anak yang kelaparan dan juga rindu terhadap ibu ayah di kampung.
“Saya hormat pendapat DSV kerana niatnya bagus untuk memberi motivasi kepada rakyat namun rakyat pada masa kini tidak perlu motivasi sebegitu kerana bimbang mereka akan lebih tertekan,” jelas Bonda Rozita Ibrahim di akaun Instagramnya. – K! ONLINE.














