fbpx

Kejuaraan Cub Prix kembali hangatkan litar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEJUARAAN Cub Prix Petronas Malaysia menerima lampu hijau untuk diteruskan semula penganjurannya dengan Terengganu menjadi lokasi perlumbaan seterusnya pada Ogos nanti.

KEJUARAAN Cub Prix Malaysia Petronas 2021 menerima lampu hijau untuk menganjurkan semula perlumbaan dua roda tersebut, namun saingan itu hanya dibenarkan berlangsung di negeri-negeri yang beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Penganjur perlumbaan, Safe Aim Mutual Sdn. Bhd. (SAM) dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya akan menyusun semula jadual perlumbaan dan menjangkakan Terengganu menjadi lokasi perlumbaan seterusnya pada Ogos nanti.

Pengarah SAM, Ron Hogg mengakui kebenaran penganjuran semula Kejuaraan Cub Prix memberi kelegaan, namun perincian akan dibuat semula susulan kos yang akan ditanggung pasukan bertanding telah meningkat.

“Pada masa ini, saya rasa semua tahu bahawa Kejuaraan Cub Prix dibenarkan dianjurkan pada fasa kedua. Bagaimanapun, ini adalah usaha yang dilakukan pada Mei dan Jun sebelum memasuki fasa ‘lockdown’.

“Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Perlis adalah negeri di bawah Fasa 2, jadi kita boleh gunakan lokasi di Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, Kuala Terengganu bagi penganjuran seterusnya. 

“Itu adalah sasaran kita setakat ini. Berkemungkinan perlumbaan akan diadakan secara dua pusingan mengikut format gelembung sukan (sports bubble). Ketika ini, hanya tiga tempat sahaja boleh diadakan dua pusingan perlumbaan iaitu Sepang, Tangkak dan Terengganu kerana ia adalah litar tetap. 

“Fasa 2 ini kos agak mahal dan kita berharap perlumbaan Cub Prix nanti beralih ke Fasa 3 secepat yang mungkin. Bagaimanapun setiap pasukan bersetuju format ini digunakan pada perlumbaan Fasa 2 nanti,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar secara maya semalam.

Jika perlumbaan Fasa 2 diadakan di Terengganu, setiap pelumba mahupun kru perlumbaan perlu mengambil ujian ujian Antigen Rapid Test (RTK-Ag) sekali gus menyebabkan kos pasukan meningkat.

“Buat masa ini kita tidak terima berita mahupun laporan terdapat pasukan yang menarik diri dalam saingan ini tetapi ia adalah satu beban jika penganjuran diadakan dalam Fasa 2 ini mengikut konsep gelembung sukan.

“Fasa 2 nanti semua yang terbabit dalam perlumbaan akan tinggal di satu atau dua lokasi yang ditetapkan dan semua ahli pasukan perlu menjalani ujian calitan RTK sebelum memasuki gelembung.

“Justeru, kita juga sedang menunggu dan tidak membuat apa-apa keputusan kerana mungkin Selangor sudah tidak berada dalam Fasa 1. Kita perlu bersedia dalam apa jua keadaan. Paling penting sekarang ini adalah Kementerian Belia dan Sukan bagi kelulusan untuk menyambung semula perlumbaan.

“Bagi pihak penganjur, kami berterima kasih kepada KBS kerana mereka antara tulang belakang utama dalam memperoleh kebenaran menyambung semula perlumbaan ini. Terima kasih juga kepada Persatuan Permotoran Malaysia (MAM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana semua membantu sedikit sebanyak perlumbaan boleh bermula sekali lagi dan harap sukan di Malaysia kembali seperti biasa,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI