KOTA BHARU – Tidak perlu kemewahan, sebaliknya kasih sayang yang diredai Allah adalah lebih penting untuk berpoligami.
Itu antara perkara yang dikongsi seorang bekas guru silat berusia 77 tahun, Che Soh Che Amat dari Kampung Babong di sini, mengenai kehidupannya yang pernah mempunyai seramai 19 isteri dengan kesemua wanita itu berasal dari Kelantan.
Tidak cukup dengan itu, Che Soh juga mempunyai prinsip iaitu untuk kekalkan empat isteri dalam setiap perkahwinannya.
Sehingga kini, lelaki warga emas itu telah dikurniakan seramai 46 anak dan lebih 200 cucu.
“Kemewahan bukanlah penanda aras bagi seseorang lelaki yang mahu berpoligami, sebaliknya kasih sayang antara insan yang diredai Allah adalah lebih penting selain kejujuran dan keadilan kepada semua isteri,” katanya ketika ditemui Kosmo! di di Kampung Babong di sini baru-baru ini.
Menurutnya, tiga wanita yang masih setia menemani hari senjanya ketika ini ialah isteri ke-16, Mariam Kadir, 62; Hasnah Che Omar, 60, (isteri ke-17) dan Zawahir Mat, 61, (isteri ke-19) yang dinikahinya lebih 40 tahun lalu.
Katanya, Hasnah dan Zawahir tinggal berdekatan di Kampung Babong dan jarak rumah antara kedua-dua isterinya itu tidak sampai 100 meter, manakala Mariam pula tinggal di Pasir Kasar Sering di sini.
“Saya sudah berpisah dengan 16 isteri yang lain dan tiga daripada mereka bercerai mati. Perceraian dengan 13 isteri bukan disebabkan masalah antara kami, tetapi ia melibatkan pihak lain.
“Bagaimanapun, hubungan saya dengan bekas isteri baik sehingga hari ini. Tiga isteri saya yang masih setia juga mempunyai hubungan baik dengan mereka,” katanya.

Che Soh berkata, dia mula mendirikan rumah tangga pada tahun 1960 bersama isteri pertamanya, Che Rahmah Abdul Rahman.
Ketika itu dia yang berusia 16 tahun bekerja sebagai pengayuh beca, manakala Che Rahmah pula berusia 12 tahun.
Ujarnya, tidak sampai setahun perkahwinan, dia telah bernikah dengan seorang lagi wanita selepas mendapat persetujuan isteri pertama.
“Ketika berusia 23 tahun, saya sudah berkahwin empat. Sejujurnya, kehidupan saya bersama semua isteri tidak mewah, ada manis dan pahitnya tersendiri.
“Saya pernah menjadi pemandu bas, teksi, pengayuh beca, pemandu lori tanah dan mengambil upah memanjat kelapa.
“Alhamdulillah, saya dapat menjaga isteri dan semua anak dengan baik,” ujarnya.
Ditanya mengenai hasrat menambah seorang lagi isteri memandangkan dia mempunyai satu lagi kuota, Che Soh berkata, dia sudah tua dan tiada yang mahukannya lagi.
Sementara itu, Hasnah atau lebih mesra dipanggil Kak Yah berkata, dia bernikah dengan Che Soh ketika berusia 14 tahun pada November 1976, manakala suaminya ketika itu berusia 33 tahun.
Katanya, dia tidak pernah melarang suaminya untuk berpoligami dengan isteri ke-19 iaitu Zawahir yang lebih mesra disapa Kak Za.
“Suami saya adalah seorang yang bermulut manis. Kebanyakan wanita yang mendekatinya pasti akan tertarik dengan perwatakannya,” ujarnya. -K! ONLINE














