fbpx

Turki mula suntik dos ketiga vaksin Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang wanita menerima dos suntikan vaksin ketiganya di Istanbul kelmarin. - Xinhua

ANKARA – Turki kelmarin mula menyuntik dos ketiga vaksin Covid-19 kepada  petugas kesihatan dan mereka berusia 50 tahun dan ke atas semalam yang merupakan sebahagian daripada kempen vaksinasi kebangsaan, lapor laman berita Xinhua.

Menteri Kesihatan,  Fahrettin Koca pada Rabu lalu mengumumkan bahawa mereka yang menepati kriteria tersebut boleh membuat temu janji untuk mendapatkan dos ketiga.

“Tiada larangan atau keutamaan tentang jenis vaksin bagi dos ketiga ini,” kata Koca dalam satu ucapannya selepas mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Ilmiah Koronavirus.

Jawatankuasa itu juga memutuskan mereka yang dijangkiti Covid-19 akan dibenarkan mendapatkan dos ketiga vaksin tiga bulan kemudian dan bukannya enam bulan seperti sebelum ini.

“Hasil penilaian mendapati dos ketiga ini akan meningkatkan perlindungan dan kadar antibodi dalam badan,” jelas menteri itu lagi.

Turki yang mempunyai 83 juta penduduk melancarkan program imunisasi kebangsaan pada Januari lalu dengan memvaksin petugas kesihatan dan warga emas menggunakan vaksin buatan China, Sinovac.

Negara itu baru-baru ini memasukkan vaksin Pfizer BioNTech dalam program vaksinasinya.

Menteri itu juga berkata,  jarak antara dua dos bagi penggunaan vaksin BioNTech dikurangkan kepada empat minggu berbanding enam minggu sebelum ini bagi melawan varian Delta.

Menurut Koca, kes Covid-19 melibatkan varian Delta sedang meningkat di Turki dengan 244 kes berbanding 138 kes minggu lalu.

Data terbaharu Kementerian Kesihatan mendedahkan bahawa lebih  50 juta dos vaksin Covid-19 diberikan di Turki.

Jumlah individu yang menerima dua dos vaksin Covid-19 telah melebihi 15.1 juta orang. -Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI