fbpx

Dengkur kurang jika turun berat badan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MASALAH dengkur yang dialami seseorang boleh mengganggu tidur orang lain. – GAMBAR HIASAN

MASALAH dengkur semasa tidur bagi sesetengah orang adalah satu perkara biasa. Ada juga pendapat seseorang itu berdengkur ketika tidur kerana terlalu penat.

Sebenarnya, masalah ini boleh mengganggu orang lain yang berada berhampiran.

Pakar Perubatan Dalaman, Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Dr. Iskandar Mirza Amran berkata, dengkur berlaku apabila bunyi yang kuat terhasil semasa udara melalui tisu-tisu di tekak, menyebabkannya bergetar semasa bernafas.

Menurutnya, hampir semua orang berdengkur sekali-sekala, tetapi ada sesetengah orang ada masalah dengkur yang kronik.

“Ini berlaku apabila otot di bahagian belakang tekak terlalu mengendur semasa pernafasan.

“Semasa otot ini mengendur, saluran pernafasan mengecil dan boleh tertutup semasa bernafas,” katanya.

DR. ISKANDAR MIRZA

Menurutnya, sesetengah orang berdepan dengan masalah ini setiap kali tidur, tidak kira sama ada tidur seketika atau untuk tempoh lama.

Ujarnya, masalah dengkur kronik boleh menyebabkan berlakunya obstructive sleep apnea (OSA).

Penghidap OSA akan mengalami situasi seperti sentiasa rasa mengantuk pada waktu pagi, selain bunyi berdengkur yang kuat.

Mereka yang menghadapi masalah itu juga boleh menyebabkan pernafasan terhenti seketika semasa tidur dan terbangun tiba-tiba serta berasa tercekik atau sukar bernafas.

Selain itu, OSA juga menyebabkan mulut terlalu kering dan sakit tekak semasa bangun tidur, sakit kepala pada waktu pagi, tidak dapat memberi perhatian penuh pada waktu pagi, tekanan darah tinggi dan kurang nafsu untuk melakukan hubungan seks.

Dr. Iskandar Mirza menjelaskan, selain menyebabkan OSA, dengkur berterusan juga boleh mendatangkan masalah lain seperti serangan jantung, serangan angin ahmar dan kegagalan jantung berfungsi.

“Oleh itu, mereka yang mengalaminya perlu berjumpa doktor jika berdengkur terlalu kuat yang mengganggu tidur orang lain atau pasangan dan rasa susah bernafas dan tercekik selepas bangun tidur,” katanya.

Bagi mengatasi masalah dengkur berterusan, pesakit boleh mengamalkan cara hidup sihat seperti selalu bersenam untuk menurunkan berat badan, mengurangkan pengambilan alkohol, berhenti merokok serta mengambil ubat masalah alahan atau nasal decongestant bila perlu.

“Jika cara ini tidak dapat mengatasi masalah OSA, mereka perlu menggunakan alat yang membolehkan saluran pernafasan terbuka semasa tidur seperti positive airway pressure (CPAP) dan mouthpiece.

“Alat CPAP dan mouthpiece akan memberi tekanan udara melalui hidung dan membuatkan salur pernafasan sentiasa terbuka semasa tidur,” jelasnya lagi.

GAMBAR menunjukkan alat mouthpiece yang diletakkan di dalam mulut bagi mengurangkan dengkur.

Tambahnya, jika kaedah itu masih tidak berkesan, rawatan pembedahan bagi membesarkan saluran pernafasan perlu dilakukan segera.

Dalam pada itu, terdapat beberapa faktor lain yang menyebabkan seseorang berhadapan dengan masalah ini, antaranya berat badan berlebihan.
Lemak berlebihan akan berkumpul di bahagian pernafasan dan ini akan mengganggu saluran tersebut.

Selain itu, Dr. Iskandar Mirza berkata, saluran pernafasan yang sempit juga boleh menyebabkan masalah ini berlaku.

Katanya, sesetengah orang mempunyai salur pernafasan sempit sama ada secara semula jadi atau disebabkan oleh masalah tonsil yang membengkak dan kemudian mengecilkan salur pernafasan.

Dari segi gender pula, lelaki lebih cenderung untuk mendapat masalah dengkur berbanding wanita.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI