fbpx
BORJA menyifatkan biarpun berisiko itulah keunikan aktiviti itu.

Freediving terapi sunyi di bawah laut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGI sesetengah orang, laut cumalah destinasi percutian, namun bagi penggemar aktiviti freediving, lautan adalah ruang untuk mencari ketenangan, mengenal diri dan lari seketika daripada hiruk-pikuk dunia.

Aktiviti menyelam tanpa bantuan tangki oksigen ini kini semakin mendapat tempat dalam kalangan pencinta sukan air, terutama generasi muda yang mencari pengalaman lebih mendalam dengan alam semula jadi.

Bagi penyelam bebas asal Filipina, Wellbein L. Borja, penglibatan dalam freediving bermula ketika dia melalui fasa hidup yang penuh ketidaktentuan.

“Ketika ramai memilih untuk menyibukkan diri dengan pelbagai aktiviti, saya mendapati kesibukan itu tidak membawa kepuasan.

“Dalam usaha untuk mencari ketenangan, saya mula tertarik kepada laut yang luas, seolah-olah ada sesuatu yang memanggil saya untuk mendekat,” katanya ketika ditemu bual CitaRasa baru-baru ini.

Tambahnya, perasaan itu bertambah kuat apabila dia melihat masyarakat Bajau atau Badjao dan nelayan penyelam tradisional yang mampu menyelam lama di dalam air hanya dengan menahan nafas.

Apa yang mengagumkannya bukan sekadar kemampuan fizikal, tetapi ketenangan wajah mereka ketika berada di dasar laut.

Tiada panik, tiada perjuangan, hanya gerakan perlahan yang seolah-olah menyatu dengan lautan.

Kongsinya lagi, rasa ingin tahu itu akhirnya membawa kepada pengalaman pertama freediving di Mabini.

“Pada mulanya, perasaan takut tidak dapat dielakkan, namun apabila tubuh mula tenggelam ke dalam air dan suasana di sekeliling menjadi senyap, dia merasakan satu pengalaman yang sukar digambarkan.

“Laut seakan memeluknya dan untuk pertama kali dalam tempoh yang lama, dia menemui rasa damai,” ujarnya.

Katanya lagi, pengalaman itu menjadi titik perubahan. Freediving bukan lagi sekadar ingin meniru orang lain, tetapi perjalanan peribadi untuk memahami diri sendiri.

Aktiviti ini memberi ketenangan sambil menikmati keindahan dalam lautan.

Setiap kali menyelam, dia merasakan tekanan hidup seolah-olah hilang bersama arus. Tiada bunyi telefon, tiada kebisingan kota, hanya degupan jantung dan bunyi halus air yang bergerak.

Minat itu kemudian membawanya menjelajah beberapa lokasi menyelam terkenal di Filipina. Antaranya di Barracuda Lake, tasik yang terkenal dengan air jernih dan fenomena thermocline iaitu

perubahan suhu air secara mendadak pada kedalaman tertentu.
Formasi batu kapur di situ mencipta suasana seakan dunia lain, menjadikan setiap selaman terasa seperti berada dalam kisah fantasi.

“Di kawasan yang sama, saya turut meneroka bangkai kapal karam, satu pengalaman yang bagi saya seperti berada dalam filem pengembaraan bawah air.

“Setiap bangkai kapal yang tenggelam menyimpan sejarah tersendiri, kini menjadi habitat kepada hidupan marin dan tarikan utama buat penggemar freediving,” tambah Borja.

Kongsinya lagi, destinasi lain seperti Napaling Reef, Siquijor dan Moalboal membuka dimensi baharu.

Di Moalboal misalnya, pengalaman menyelam bersama jutaan ikan sardin dalam fenomena ‘sardine run’ meninggalkan kesan luar biasa.

Kilauan sisik ikan yang memantulkan cahaya matahari membuatkan suasana bawah air tampak seperti lautan dipenuhi bintang.

“Selepas beberapa ekspedisi tempatan, saya dan rakan-rakannya membawa minat itu ke luar negara. Pilihan kami ialah Bali, lokasi terkenal dengan kehadiran pari manta.

“Melihat haiwan gergasi itu berenang anggun di habitat semula jadi memberikan pengalaman yang sukar dilupakan, malah momen itu membuatkan saya berharap dapat kembali sebagai pari manta dalam kehidupan lain,” tuturnya.

Kata Borja lagi, freediving sebenarnya lebih daripada sukan. Ia memerlukan kawalan pernafasan, disiplin mental dan keupayaan menenangkan diri.

Tanpa semua itu, penyelaman tidak akan selamat. Namun, di situlah letaknya keunikan. Dalam dunia yang serba laju, aktiviti ini memaksa seseorang memperlahankan rentak, fokus kepada nafas dan menghargai saat sekarang.

“Bagi mereka yang pernah mengalaminya, freediving bukan sekadar turun ke dasar laut. Ia adalah perjalanan kembali kepada diri sendiri.

“Dalam kesunyian di bawah permukaan air, ramai menemui sesuatu yang sukar dicari di daratan iaitu ketenangan sebenar,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN