fbpx

Rasionalisasi punca rider Pos Malaysia ditamatkan kontrak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Luahan hati salah seorang pekerja penghantar barang yang turut terkesan dengan penamatan kontrak oleh Pos Malaysia.

PETALING JAYA – Lebihan sumber manusia mendorong Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) untuk merasionalisasikan program Pos Rider yang menyaksikan lebih daripada 100 pekerja kontrak penghantar barang ditamatkan perkhidmatan bermula hari ini.

Pos Malaysia menerusi satu kenyataan berkata, ‘Pos Rider’ merupakan satu program ‘crowdsourcing’ bertujuan memberi sokongan kepada kakitangan tetap kurier Pos Malaysia terutamanya ketika waktu puncak.

“Program Pos Rider telah memainkan peranan penting semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu ketika jumlah bungkusan melonjak berikutan peningkatan pembelian secara online sekaligus mewujudkan lebih daripada 1,400 peluang pekerjaan.

“Walaupun permintaan terhadap pembelian online terus meningkat, landskap pasaran yang kompetitif telah menyebabkan penyedia e-Dagang mewujudkan perkhidmatan penghantaran mereka sendiri mengakibatkan pengurangan kebergantungan terhadap perkhidmatan kurier tempatan,” katanya hari ini.

Menurutnya, keadaan itu telah menghasilkan lebihan sumber manusia dan mendorong Pos Malaysia untuk merasionalisasikan Program Pos Rider memandangkan perlu menyesuaikan kos dan mengoptimakan sumber yang ada.

“Keputusan merasionalisasikan Program Pos Rider terpaksa diambil bagi memastikan kemampanan perniagaan demi menjaga kepentingan lebih daripada 13,600 kakitangan barisan hadapan Pos Malaysia di seluruh negara.

“Selain persaingan yang sengit, Pos Malaysia turut terkesan dengan lambakan perkhidmatan (penawaran harga rendah yang terlalu rendah) oleh sesetengah pemain industri, dengan tujuan untuk mengganggu pasaran.

“Untuk kekal berdaya saing dan terus bertahan dalam persekitaran perniagaan yang mencabar ini, kami harus menitikberatkan pengurusan kos yang berhati-hati dan berhemah,” katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, fasa pertama rasionalisasi berkuatkuasa mulai 1 Julai di semua negeri kecuali di Lembah Klang, Sabah serta Sarawak dan notis pemberitahuan 14 hari telah dikeluarkan kepada semua Pos Rider terlibat sekaligus mematuhi klausa penghentian seperti yang telah termaktub dalam kontrak. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI