fbpx

Seludup dadah RM23 juta guna trak tunda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razarudin (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas bernilai hampir RM23.7 juta menggunakan trak tunda pada sidang akhbar di IPK Perak hari ini. - Foto ZULFACHRI ZULKIFLI

IPOH – Cubaan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa membawa 448 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine dan ketamin bernilai RM23.7 juta menggunakan trak tunda gagal dengan penahanan dua beranak di Kilometer 7 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) di Gerik, Sabtu lalu.

Suspek berusia 58 tahun dan anak lelakinya berusia 27 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak pada pukul 6 petang.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, trak tunda dinaiki dua beranak itu ditahan ketika dalam perjalanan dari Kelantan ke satu lokasi di negeri ini dengan membawa sebuah Toyota Alphard.

Katanya, pemeriksaan di dalam Toyota Alphard itu kemudian menjumpai 447 bungkusan dadah jenis methamphetamine dan ketamin.

“Siasatan mendapati bekalan dadah itu disyaki diperoleh dari kawasan Segi Tiga Emas sebelum diseludup masuk ke negara ini melalui sempadan Thailand.

“Dadah tersebut dipercayai bukan sahaja untuk pasaran tempatan malah hasil risikan juga mendapati bahan terlarang itu akan dihantar ke negara jiran seperti Indonesia, Korea Selatan dan Australia,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Kawasan Segi Tiga Emas atau Golden Triangle terletak di antara sempadan Thailand, Myanmar dan Laos yang merupakan pengeluar candu serta heroin paling besar di rantau ini.

Menurut Razarudin, dadah yang dirampas itu dipercayai boleh menampung keperluan lebih dua juta penagih.

“Dalam tangkapan itu, kita turut menyita wang tunai berjumlah RM19,672. Kedua-dua suspek kini direman tujuh hari bermula 27 Jun lalu untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI