fbpx

Juara dunia Perancis diaibkan Switzerland

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YANN Sommer meraikan kejayaannya menyelamatkan sepakan penalti daripada Mbappe sekali gus menyaksikan Switzerland menewaskan Perancis 5-4 pada pusingan 16 terbaik Euro 2020 di National Arena Bucharest sebentar tadi. - AFP

BUCHAREST – Juara dunia, Perancis harus menyalahkan diri sendiri apabila tersingkir seawal pusingan 16 terbaik Euro 2020 kepada pasukan bukan pilihan, Switzerland.

Les Blues terpaksa menerima hakikat mereka ditunjukkan jalan keluar selepas tewas 4-5 menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 3-3 pada aksi di National Arena Bucharest sebentar tadi.

Penyerang Perancis, Kylian Mbappe menjadi punca utama kekalahan pasukan ranking kedua dunia itu selepas mensia-siakan deretan peluang dalam aksi sebenar selain gagal menyempurnakan sepakan penalti terakhir pada penentuan tersebut.

Dalam aksi itu, Perancis terlebih dahulu dikejutkan dengan gol awal Switzerland melalui tandukan Haris Seferovic yang menerima hantaran lintang daripada Steven Zuber pada minit ke-15.

Skuad bimbingan Didier Deschamps itu juga hampir melepaskan gol kedua tetapi penjaga golnya, Hugo Lloris bertindak cemerlang menafikan sepakan penalti daripada pemain pertahanan Switzerland, Ricardo Rodriguez.

Ia sekali gus membangkitkan semangat para pemain Perancis yang berjaya mengubah kedudukan dengan dua gol pantas dalam tempoh dua minit daripada Karim Benzema.

Kemenangan seakan-akan sudah menjadi milik Perancis selepas Paul Pogba meledak gol ketiga menerusi sepakan lencong menarik daripada luar kotak penalti pada minit ke-75.

Bagaimanapun, situasi tiba-tiba berubah apabila kali ini giliran Switzerland pula memperagakan kebangkitan bergaya dengan dua gol lewat permainan daripada Seferovic dan Mario Gavranovic untuk menyamakan kedudukan 3-3.

Ia kembali menghidupkan peluang skuad kendalian Vladimir Petkovic itu dalam aksi tersebut apabila berjaya mengheret perlawanan hingga tambahan masa dan seterusnya pemenang ditentukan menerusi sepakan penalti.

Penjaga gol Switzerland, Yann Sommer muncul wira pasukan selepas berjaya menafikan sepakan penalti kelima Perancis yang diambil Mbappe untuk menempah pertemuan dengan Sepanyol di suku akhir pada 2 Julai ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI