PETALING JAYA – Kisah-kisah tragis seperti terjun dari bangunan dan jambatan, menggantung diri selain hidu asap arang dalam kereta sudah cukup menggambarkan tahap tekanan yang dihadapi segelintir individu sehingga sanggup membunuh diri.
Kesan daripada kejadian itu telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat, seolah-olah perbuatan membunuh diri menjadi ‘jalan singkat’ untuk menyelesaikan masalah.
Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) tahun lalu mendedahkan sebanyak 266 kes bunuh diri dilaporkan dalam tempoh 18 Mac hingga 30 Oktober ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan bagi mengekang penularan Covid-19.
Tidak cukup dengan itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow baru-baru ini turut mengesahkan sekurang-kurangnya 10 orang membunuh diri dalam sebulan di negeri itu dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.
Pelbagai faktor telah dikaitkan dengan kejadian bunuh diri termasuklah isu kewangan, masalah peribadi dan tahap kesihatan mental, khususnya ketika seluruh dunia berdepan penularan pandemik Covid-19.
Menurut Presiden Persatuan Kesedaran Psikatri, Dr. Hazli Zakaria, peningkatan kes bunuh diri ketika ini sebenarnya menunjukkan semakin kurangnya kebolehan masyarakat untuk berdepan tekanan yang mereka hadapi.
“Bunuh diri adalah salah satu simptom yang menunjukkan individu itu kemungkinan besar mengalami penyakit mental seperti kemurungan dan bipolar.
“Bagaimanapun, tidak ada penyebab tertentu yang boleh dikatakan sebagai punca bunuh diri kerana banyak faktor yang mendorong individu ini tidak kuat untuk melawan tekanan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Selain itu katanya, peningkatan kadar kes bunuh diri ketika pandemik ini pula turut dikaitkan dengan kekurangan interaksi atau sokongan daripada insan-insan penting dalam kehidupan seseorang.
“Kadang-kadang kita memandang ringan kepentingan sokongan. Banyak sahaja kes-kes cubaan membunuh diri ini, mereka batalkan niat sebaik sahaja pasukan penyelamat beri ruang untuk bercakap dengan orang yang mereka rapat.
“Bagi situasi ketika ini, mungkin disebabkan tidak boleh rentas daerah dan negeri menyebabkan mereka rasa semakin jauh dengan insan tertentu, sekali gus menyebabkan tekanan bertambah,” ujarnya.
Sementara itu, Pakar Psikologi, Dr. Meriam Omar Din berkata, kes bunuh diri yang semakin ketara ketika ini menunjukkan negara mempunyai talian khas yang terhad bagi menangani masalah kemurungan.

“Kemahiran kaunselor untuk kes kemurungan dan keinginan membunuh diri tidak sama dengan kaunseling berbentuk khidmat interpersonal dan khidmat nasihat.
“Setiap kaunselor talian perlu diberi kemahiran ini supaya dari peringkat permulaan lagi, mereka dapat mengesan kes kemurungan dengan betul,” katanya.
Katanya lagi, negara juga perlu memiliki lebih banyak pusat kaunseling khusus untuk kes-kes murung yang ada kecenderungan untuk membunuh diri.
“Mereka perlu tahu ada orang yang faham, prihatin dan terima hakikat mengenai kewujudan insan-insan sebegini dan tidak cepat menilai mereka dengan negatif.
“Kursus-kursus khas juga perlu diberikan kepada kaunselor talian kes krisis kehidupan. Hakikatnya, kefahaman kita tentang kesihatan mental masih tidak begitu memdalam.
“Masyarakat perlu tahu ia bukan semata-mata kerana kesulitan hidup, tetapi lebih kepada faktor psikologikal termasuk keturunan, krisis keibubapaan.
“Selain itu, trauma semasa kecil juga mendedahkan seseorang kepada kemurungan melampau sehingga ada yang putus harapan untuk hidup,” jelasnya.-K! ONLINE














