fbpx

Rokok tidak bercukai hampir RM8 juta dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sahabudin Abd. Manan (depan, dua dari kiri) menunjukkan sebahagian daripada rokok tidak bercukai yang dirampas dalam satu sidang akhbar di IPD SPT, Bukit Mertajam, hari ini

SEBERANG PERAI – Lebih empat juta batang rokok putih dan 691,200 batang rokok kretek tidak bercukai pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM7.8 juta dirampas dalam tiga serbuan berasingan di sini Sabtu lalu.

Serbuan yang bermula kira-kira pukul 10.30 pagi hingga 12 tengah hari sempena Op Kontraban itu memfokuskan premis kediaman yang dijadikan tempat simpanan rokok tersebut di dua lokasi berbeza iaitu di Machang Bubok dan Bukit Tengah di sini.

Ketua Polis negeri, Datuk Sahabudin Abd. Manan berkata, terdahulu, intipan telah dilakukan seawal pukul 5 pagi sebelum serbuan tersebut dijalankan oleh sepasukan anggota daripada Bahagian Khas (D8) dan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dengan kerjasama beberapa anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah.

Katanya, dalam serbuan itu, polis turut menahan 12 orang suspek warga tempatan selain menyita sembilan buah kenderaan yang dianggarkan bernilai RM236,000 dengan keseluruhan rampasan berjumlah RM8.04 juta.

Menurut beliau, kesemua suspek yang berusia antara 18 hingga 38 tahun itu kini direman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah di bawah Seksyen 116 Akta Kastam untuk siasatan lanjut dan kes itu pula disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Sabit kesalahan, mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1)(v)(aa) akta yang sama iaitu denda minima tidak kurang 10 kali nilai barangan atau RM100,000 mengikut mana yang lebih tinggi dan denda maksima tidak lebih 20 kali nilai barang atau RM500,000, mana lebih tinggi atau penjara antara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Pada masa yang sama, mereka juga boleh didakwa di bawah Peraturan 4(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.3) 2021 yang boleh dikenakan kompaun dengan magnitud bernilai RM5,000,” katanya dalam satu sidang akhbar, hari ini. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI