fbpx

Croatia masih miliki kelebihan sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CROATIA percaya mereka memiliki kekuatan tersendiri dan tidak mahu memberi laluan mudah kepada Sepanyol. – AFP

COPENHAGEN – Ketua jurulatih Croatia, Zlatko Dalic sedar de­ngan ancaman yang mampu diberikan Sepanyol menjelang aksi pusingan 16 pasukan terbaik, Euro 2020 di Stadium Parken te­ngah malam ini.

Beliau berkata, skuad kendalian Luis Enrique itu memiliki barisan pemain yang sa­ngat berkualiti dan ia dibuktikan apabila Sepanyol membelasah Slovakia 5-0 pada aksi terakhir Kumpulan E.

Bagaimanapun, ia langsung tidak melemahkan semangat Croatia, malah finalis Piala Dunia 2018 itu sedia untuk membuatkan Sepanyol berada dalam keadaan sukar sepanjang perlawanan itu nanti.

“Semua orang boleh lihat apa yang boleh dilakukan Sepanyol ketika bertemu Slovakia sebelum ini. Mereka memiliki kemam­puan untuk menembusi benteng pertahanan lawan menerusi hantaran-hantaran pendek.

“Mereka memiliki barisan pemain muda yang sangat pantas serta memiliki kemahuan tinggi. Saya yakin mereka akan menggunakan pendekatan sama ketika bertemu kami pada pusingan 16 pasukan terbaik,” kata Dalic.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran kepada skuad La Roja agar bersiap sedia memandangkan Croatia bukanlah pasukan yang boleh dipandang rendah selepas mereka kembali menemui rentak sebenar.

“Kemampuan Sepanyol memang tidak boleh dipertikaikan tetapi mereka perlu sedar, Croatia juga ada kelebihan tersendiri. Saya yakin kami boleh berikan tentangan sukar kepada mereka.

“Saya sentiasa beri peringatan kepada semua pemain, pertahanan yang paling baik adalah ketika kami menyerang. Oleh itu, mereka (Sepanyol) perlu berdepan serangan kami dari awal permainan,” ujarnya.

Sementara itu, pemain pertahanan Croatia, Domagoj Vida menegaskan, walaupun Sepanyol sudah tidak sehebat seperti era Xavi Hernandez dan Andres Iniesta, namun dia percaya juara Piala Dunia 2010 itu masih mampu mengganas.

“Sepanyol adalah sebuah pasukan yang baik dan dibarisi ramai pemain hebat. Bagaimanapun, saya tidak fikir ia setanding dengan pasukan yang dibarisi oleh Xavi dan Iniesta.

“Walaupun mereka adalah skuad muda tetapi tidak bermakna mereka mudah untuk ditewaskan. Saya yakin mereka akan membuatkan kami berada dalam keadaan sukar sepanjang perlawanan itu nanti,” jelas Vida.

Dalam pada itu, Croatia juga menerima tamparan hebat apabila tonggak mereka, Ivan Perisic tidak dapat diturunkan kerana perlu menjalani kuarantin selepas disahkan positif Covid-19. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI