fbpx

Martinez kekal taktikal menyerang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GENERASI ‘emas’ Belgium sudah kesuntukan masa dan perlu membuktikan keupayaan mereka dengan menjulang kejuaraan Euro kali ini. – AFP

SEVILLA – Belgium dijangka turun dengan corak permainan menyerang menjelang aksi menentang Portugal pada pusingan 16 pasukan terbaik, Euro 2020 yang akan berlangsung di Stadium La Cartuja awal pagi esok.

Meskipun Belgium melangkah ke pusingan berikutnya sebagai juara Kumpulan B, namun mereka masih berdepan tugas getir selepas Portugal layak sebagai salah satu pasukan tempat ketiga terbaik.

Ketua jurulatih Belgium, Ro­berto Martinez menegaskan, mereka tidak akan sesekali meng­ubah gaya permainan walaupun sedar ancaman yang mampu diberikan Portugal sekiranya bermain secara terbuka.

“Kami tidak boleh ubah diri sendiri kerana Belgium memang dilatih untuk menyerang dari awal permainan. Bagaimanapun, kami perlu sabar dan menunggu peluang terbaik untuk kejutkan mereka.

“Keyakinan semua pemain berada pada tahap terbaik dan kami menampilkan aksi terbaik ketika ini. Saya perlu buat keputusan terbaik jika mahu lihat Belgium mara ke pusingan seterus­nya,” kata bekas pengurus Everton itu.

Pada masa sama, beliau me­ngakui adalah terlalu awal untuk kedua-dua pasukan membuat perhitungan pada kejohanan tersebut, namun beliau tetap menggesa pemain-pemainnya bersiap sedia.

“Portugal adalah sebuah pa­sukan yang mampu melakukan sesuatu apabila mereka mahu. Ia dibuktikan apabila mereka tampilkan aksi berbeza ketika bertemu Jerman, Hungary dan Perancis sebelum ini.

“Apabila sesebuah pasukan mampu tewaskan Perancis seper­ti yang dilakukan Portugal pada Euro 2016, anda tahu mereka mampu ulanginya pada perlawanan berikutnya,” tegas Martinez.

Dalam perkembangan lain, penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois percaya kapten pasukan, Eden Hazard semakin hampir untuk kembali ke prestasi terbaik selepas berdepan beberapa isu kecederaan sebelum ini.

“Hazard menunjukkan prestasi yang cukup baik dalam sesi latihan dan saya yakin dia sudah hampir untuk bermain seperti biasa.

“Dia sudah cergas tetapi mungkin perlukan sedikit masa lagi untuk kembali ‘meletup’. Hazard seorang pemain yang memiliki kemahuan yang cukup tinggi dan dia sangat gigih untuk kembali ke prestasi lamanya,” ujar Courtois. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI