fbpx

Ronaldo pahat sejarah di pentas Euro 2020

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RONALDO berjaya sempurnakan sepakan penalti pada aksi yang menyaksikan Portugal seri 2-2 dengan Perancis di Puskas Arena awal pagi semalam. – AFP

BUDAPEST – Kapten pasukan Portugal, Cristiano Ronaldo membuktikan dirinya layak dilabelkan sebagai pemain terbaik sepanjang zaman selepas menjaringkan dua gol ketika mengikat juara Piala Dunia 2018, Pe­rancis dengan keputusan 2-2 pada aksi terakhir Kumpulan F, Euro 2020 di Puskas Arena awal pagi semalam.

Jaringan tersebut menyaksikan Ronaldo yang berusia 36 tahun telah menyamai rekod pencapaian gol terbanyak antarabangsa milik penyerang ­legenda Iran, Ali Daie yang mengumpul 109 gol.

Penyerang prolifik kelab Juventus itu meraih rekod jaringan tersebut dalam 177 penampilan antarabangsa, manakala Daie pula melakukan dalam 149 perlawanan ketika mewakili skuad Iran pada 1993 sebelum bersara pada 2006.

Lebih menarik, dua gol yang diledak Ronaldo awal pagi semalam turut meletakkannya sebagai penjaring terbanyak kejohanan Euro sepanjang zaman dengan 13 gol secara keseluruhan selepas meledak lima gol pada kempen kali ini.

Sementara itu, ketua jurulatih Portugal, Fernando Santos memuji mentaliti anak-anak buah­nya yang tidak mengangkat bendera putih terlalu awal.

Kata Santos, semangat juang tinggi yang mereka pamerkan terutama untuk bangkit selepas tewas memalukan 2-4 kepada Jerman minggu lalu wajar dipuji kerana bukan mudah apabila dijadualkan bertemu pasukan berkualiti seperti Perancis.

“Semua pemain telah memberikan kerjasama penuh apabila mempamerkan aksi cukup bertenaga dan tidak memberi sebarang ruang buat Perancis mendominasi perlawanan se­perti yang dilakukan Jerman sebelum ini.

“Ini adalah karakter juara yang dipamerkan oleh pasukan walaupun kami tidak memenangi perlawanan, ia tetap mencukupi untuk memastikan tiket ke pu­singan kalah mati berjaya diraih. Kini, adalah masa untuk pasukan berehat dan menjalani pemulihan sebelum memikirkan aksi seterusnya,” katanya.

Portugal yang juga juara bertahan bakal mengharungi jadual berliku apabila diundi menentang pasukan No.1 dunia yang juga juara Kumpulan A, Belgium pada aksi peringkat kalah mati pada awal pagi Isnin depan.

Kata Santos, berdasarkan rekod di atas kertas, Belgium sudah tentu menjadi pilihan untuk mara ke pusingan suku akhir tetapi pasukannya tidak akan memberi laluan mudah buat skuad kendalian Roberto Martinez itu.

“Kelebihan mereka ketika ini adalah memiliki tempoh rehat lebih lama tetapi kami tidak boleh jadikan itu sebagai alasan. Apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak dan pasukan perlu fokus sepenuhnya,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI