fbpx

K2

Mengenang pengorbanan Iqbal Masih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IQBAL sewaktu berucap tentang perjuangannya membanteras aktiviti buruh kanak-kanak di Boston, AS pada tahun 1994.

PADA 12 Jun lalu, masyarakat global meraikan Hari Penentangan Buruh Kanak-Kanak Sedunia bagi mempertahankan hak kanak-kanak daripada terus dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Kanak-kanak telah dijadikan sebagai buruh paksa sejak sekian lama dan nasib mereka terus diberi perhatian hasil pengorbanan aktivis-aktivis serata dunia yang membela nasib anak-anak kecil ini termasuk dengan mengorbankan nyawa.

Salah seorang pejuang antiburuh kanak-kanak yang berjuang sehingga ke titis darah terakhirnya ialah tokoh cilik dari Pakistan, Iqbal Masih sehingga menjadi sumber inspirasi terbesar di sebalik pembentukan beberapa organisasi kemanusiaan kanak-kanak pada ketika ini.

Antaranya, Free The Children iaitu badan amal yang berpusat di Kanada dan Yayasan Kanak-Kanak Iqbal Masih Shaheed yang telah membina 20 sekolah di Pakistan.
Pada tahun 2009, Kongres Amerika Syarikat (AS) telah menubuhkan Anugerah Iqbal Masih secara tahunan bagi menghargai jasa-jasa individu atau organisasi yang berjuang menghapuskan sistem buruh kanak-kanak di seluruh dunia.

Pada tahun ini, anugerah itu diberikan kepada seorang pejuang nasib kanak-kanak, Norma Flores Lopez dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Suara Iqbal yang telah mati terbunuh pada tahun 1995 itu melangkaui waktu dan sempadan negara. Kanak-kanak itu menerima pelbagai anugerah atas kerja kemanusiaannya untuk membebaskan kanak-kanak lain daripada menjadi buruh paksa dengan slogan ‘kanak-kanak harus memegang pen di tangan dan bukannya alatan bekerja’.

BURUH kanak-kanak kelihatan duduk secara berbaris di atas sebuah kerusi kayu panjang bagi menyiapkan tenunan permaidani.

Dia yang merupakan mangsa buruh kanak-kanak sejak usia empat tahun telah meraih populariti menerusi kempen-kempen menentang perbuatan zalim itu.

Justeru, kemaraannya telah menimbulkan kebimbangan pihak yang mengeksploitasi buruh cilik sehingga Iqbal ditembak mati ketika dia berusia 12 tahun pada 16 April 1995.

Bercerita kembali pengalaman mengenali Iqbal, Ahli Jawatankuasa Children’s Law Centre (CLC), Tim Ryan berkata, dia seorang kanak-kanak yang berjiwa kental, bersemangat waja dan tidak mengenal rasa gentar.

“Iqbal juga seorang kanak-kanak yang sangat pintar dan dia menyelesaikan kurikulum sekolah yang biasanya mengambil tempoh empat tahun kepada dua tahun sahaja.

“Dia juga bercita-cita besar tetapi sayang umurnya tidak panjang, Iqbal dibunuh oleh manusia tamak yang ketakutan,” katanya.

Jelas Ryan, Iqbal pernah menerima beberapa surat ugutan tetapi dia tidak menghiraukannya dan sanggup merisikokan nyawa sendiri.

Menelusuri sejarah hidup Iqbal, dia dilahirkan pada tahun 1983 di sebuah perkampungan di Muridke, Lahore, Pakistan. Perkampungan tersebut yang terletak di bandar Lahore terkenal dengan industri pembuatan permaidani.

Episod hitam kehidupan kanak-kanak malang itu bermula apabila keluarganya yang miskin membuat pinjaman AS$12 (RM49.96) daripada pemilik kilang tenunan permaidani.

Bagi melangsaikan hutang tersebut, Iqbal yang ketika itu berusia empat tahun telah dijual sebagai hamba kepada pemilik kilang tenunan permaidani oleh keluarganya sendiri.

Sistem pinjaman yang tidak adil itu dikenali sebagai peshgi yang mana majikan akan mempunyai kuasa sepenuhnya ke atas hamba terbabit.

Iqbal terpaksa bekerja di situ selama 12 sejam sehari dengan masa rehat cuma 30 minit selama enam hari seminggu.

GAMBAR Iqbal dan slogan popularnya dipersembahkan dalam satu pertunjukan fesyen di Pakistan pada tahun 2017.

Kerja menenun permaidani memerlukan kemahiran mengikat simpulan benang di ruang-ruang benang yang kecil. Justeru, kerja itu memerlukan tangan kecil sehingga menyebabkan pemilik kilang menggunakan tenaga buruh kanak-kanak untuk pekerjaan tersebut.

Keadaan Iqbal dan kanak-kanak lain sangat menyayat hati. Mereka dirantai di antara satu sama lain di atas kerusi kayu dengan badan membongkok ke hadapan untuk mengikat jutaan benang permaidani.

Mereka juga tidak dibenarkan bercakap. Sekiranya mengelamun akan dipukul oleh penjaga atau tangan kanak-kanak itu dikelar dengan alat pemotong benang yang tajam.

Jika didapati melarikan diri, mereka akan dipukul, dirantai dan dikurung di dalam bilik gelap dengan digantung secara terbalik. Buruh kanak-kanak bekerja di dalam bilik yang sangat panas dan berdebu kerana tingkap tidak dibuka bagi melindungi kualiti benang permaidani.

Lebih memeritkan, selama bertahun-tahun keluarga Iqbal menambah lagi pinjaman wang sehingga dia terikat seumur hidup untuk menjadi penenun permaidani di kilang tersebut.

Apatah lagi, majikan bertindak kejam dengan menaikkan bunga pinjaman sehingga membuatkan dia sedar yang hutang-hutang tersebut tidak akan mampu dilunaskan sepanjang hayat.

Pernah Iqbal cuba melarikan diri dan pergi ke balai polis untuk mendapatkan bantuan, sebaliknya pihak berkuasa itu bersekongkol dengan majikan dan menghantarnya semula ke kilang itu.

EHSAN (kiri) bergambar bersama sebuah tugu yang didedikasikan buat Iqbal di Sepanyol.

Tidak mahu mengalah dengan takdir, pada usianya 10 tahun, dia akhirnya berjaya melarikan diri dan meminta pertolongan daripada Bonded Labour Liberation Front (BLLF) untuk membantunya membebaskan diri daripada situasi yang sangat perit itu.

BLLF merupakan organisasi yang berjuang untuk membebaskan ribuan buruh kanak-kanak. Organisasi itulah yang kemudian telah membantu Iqbal bersekolah. Iqbal begitu bersemangat menimba ilmu sehingga mampu menamatkan pembelajaran yang sepatutnya mengambil masa empat tahun kepada dua tahun sahaja.

Dia juga bercita-cita untuk menjadi peguam dan membantu kanak-kanak daripada menjadi mangsa buruh agar memiliki masa depan lebih baik.

“Saya adalah satu dalam sejuta kanak-kanak di Pakistan yang menderita ekoran dipaksa menjadi buruh kanak-kanak. Tetapi saya bertuah kerana dengan bantuan BLLF telah membebaskan saya serta dapat berdiri di hadapan anda semua pada hari ini,” ucapnya ketika menerima Anugerah Hak asasi Manusia Reebok di Boston, AS pada tahun 1994.

Sebagai aktivis, dia banyak berkongsi pengalaman sebagai buruh kanak-kanak di pentas antarabangsa.

Iqbal juga sanggup membahayakan diri sendiri dengan menyamar sebagai pekerja kilang permaidani untuk mengumpul maklumat dan berjaya membuatkan premis tersebut ditutup sehingga akhirnya berjaya membebaskan lebih 3,000 kanak-kanak di Pakistan daripada aktiviti buruh.

Kerajaan Pakistan juga mula sedar mengenai isu buruh paksa kanak-kanak.

Walaupun sudah lebih dua dekad Iqbal pergi buat selama-lamanya, tetapi warisannya berdiri teguh sehingga kini dan terus membuka mata banyak pihak di seluruh dunia.

Pengasas BLLF, Ehsan Ulla Khan menyifatkan Iqbal seorang kanak-kanak yang sangat berani.

“Keberaniannya anda tidak mampu bayangkan, walaupun sedar berdepan bahaya tetapi dia enggan berundur dan menyerah kalah,” katanya.

Pengalaman sebagai buruh paksa kanak-kanak juga mempengaruhi perkembangan tubuh badannya. Iqbal mengalami pertumbuhan badan yang terbantut. Tubuhnya berhenti membesar dan doktor memberitahu ia adalah ‘kerdil psikologi’.

Pada usia 10 tahun, dia hanya berketinggian kurang 121 sentimeter dan berat badan 27 kilogram.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI