KUALA TERENGGANU – Maritim Malaysia (APMM) mendedahkan ratusan bot nelayan Vietnam sedia menunggu di sempadan perairan antarabangsa untuk memasuki laut negara bagi mengaut hasil laut berkualiti tinggi milik Malaysia.
Lebih membimbangkan, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh sejak 1 Jun lalu menjadi ruang buat mereka bermaharajalela di perairan Pantai Timur terutama di Terengganu.
Pengarah APMM Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, nelayan Vietnam akan berbuat demikian sekiranya pihak berkuasa alpa dan setakat ini bilangan bot mereka yang berdaftar dianggarkan lebih 100,000 buah.
“Isnin lalu, Kapal Maritim (KM) Nusa berjaya menahan empat bot nelayan serentak pada kedudukan 144 kilometer (km) dari perairan Kuala Terengganu.
“Siasatan mendapati kesemua bot itu telah berada di perairan negara sejak awal pelaksanaan PKP penuh dan telah mengaut 14 tan hasil laut termasuk ikan-ikan bermutu tinggi dan sotong bernilai RM6 juta,” katanya ketika ditemui Kosmo!.
Muhammad Suffi berkata, taktik licik nelayan Vietnam sudah dijangka berdasarkan trend pengusiran sepanjang tempoh pelaksanaan PKP 1.0 pada 18 Mac hingga 14 Jun tahun lalu.
Beliau berkata, sepanjang bulan Ramadan dan Syawal tahun lalu, sebanyak 72 bot melibatkan 793 nelayan Vietnam telah diusir dan ia meningkat berkali ganda berbanding 2018 dan 2019.
“Soal siasat mendapati mereka ceroboh sekitar kedudukan 277 km dari perairan Terengganu dan kawasan pelantar minyak kerana menyangka penguatkuasaan maritim dikendurkan ketika negara memberi tumpuan melawan Covid-19,” katanya.
Tambahnya, kedudukan itu membolehkan mereka melarikan diri dengan pantas.
Muhammad Suffi berkata, pihaknya sentiasa bersiap sedia melakukan rondaan di kawasan seluas 333 km dari perairan Terengganu setiap hari melibatkan aset seperti KM Pekan, Tegas, Langkawi, Tok Bali, Tatau, Gemia, Penggalang 45 dan 16.

Taktik menyamar bot tempatan, kibar Jalur Gemilang
KUALA TERENGGANU – Menyamar sebagai bot tempatan dengan menggunakan nombor patil atau pendaftaran palsu merupakan modus operandi yang sering digunakan oleh nelayan Vietnam untuk mencerobohi perairan negara.
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, nombor patil palsu itu biasanya akan dipasang oleh nelayan asing tersebut sebaik memasuki perairan negara.
“Mereka biasanya akan menanggalkan nombor pendaftaran asal selain tidak segan silu mengibarkan Jalur Gemilang pada bot masing-masing semata-mata untuk mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya.
Muhammad Suffi berkata, taktik penipuan tersebut tidak berjaya kerana Maritim Malaysia (APMM) sudah masak dengan helah nelayan Vietnam tersebut.
Beliau berkata, penyamaran tersebut biasanya akan terdedah menerusi pemeriksaan bot log bot dan lesen perikanan yang sukar dipalsukan.

Dalam pada itu, Muhammad Suffi tidak menolak kemungkinan keghairahan nelayan Vietnam menceroboh perairan Pantai Timur khususnya Terengganu dibantu oleh kru bot tempatan yang khianat.
Beliau memberitahu, kebanyakan bot nelayan laut dalam atau C2 tempatan masih menggunakan sepenuhnya khidmat awak-awak warga Vietnam.
“Kita syaki kru bot nelayan C2 warga Vietnam ini menjadi ‘mata dan telinga’ rakan senegara mereka untuk memasuki perairan negara ini.
“Mereka dipercayai bukan sahaja menyalurkan maklumat tentang operasi rondaan aset APMM, malah berkongsi di mana lokasi lubuk ikan dengan nelayan-nelayan Vietnam berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Suffi berkata, nelayan Vietnam yang ditahan didakwa mengikut Akta Perikanan 1985, Akta Imigresen 1963 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Ujarnya, bot, peralatan menangkap ikan, hasil laut dan minyak diesel nelayan asing itu pula akan disita sebelum bot tersebut akan dikaramkan sebagai tukun tiruan di lokasi strategik di perairan
Terengganu sesudah selesai proses melucut hak dilakukan di mahkamah.
“Setakat ini, APMM berjaya menahan 103 buah bot nelayan asing melibatkan jumlah rampasan keseluruhan RM154.5 juta sepanjang Op. Kuda Laut di Pantai Timur mulai awal tahun ini,” katanya.














