fbpx
Tangkap layar mesej tular yang dinafikan KKM

Individu divaksin meninggal akibat makan durian palsu -KKM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan berita tular di media sosial berkaitan kejadian seorang individu yang telah divaksin meninggal dunia selepas makan durian.

Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi laman Facebooknya berkata, berita itu adalah palsu dan meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan berita tersebut.

“KKM mengesahkan maklumat ini palsu. Mohon kerjasama semua untuk tidak menyebarkannya,” katanya pada hantaran itu semalam.

Antara tangkap layar mesej yang tular di laman sosial sejak semalam.

Terdahulu tular di laman sosial apabila orang ramai menerima mesej tular kononnya seorang individu yang telah divaksinasi meninggal dunia selepas makan durian.

“Beritahu keluarga dan rakan-rakan untuk jangan makan durian sebelum atau selepas vaksinasi.

“Rakan saya di kebun diberi vaksin dan kembali makan durian pada keesokan harinya dan meninggal dunia.

“Lebih baik mengetahui dan berhati-hati. Hidup itu berharga, kerana suatu saat kejahilan akan membunuhnya, menyedihkan,” kata mesej yang tular itu.

Sementara itu, rata-rata netizen memberikan pelbagai reaksi berbeza ke atas hantaran yang dimuat naik KKM tersebut termasuk ada yang mengaitkan kejadian itu berlaku disebabkan penyakit yang dialami mangsa bukan disebabkan vaksin.

“Bergantung pada badan masing-masing, mungkin disebabkan oleh penyakit sedia ada dan bukan sebab vaksin,” tulis Pn Halim Mohamed.

Pada masa sama, netizen turut mengecam tindakan individu yang menularkan mesej itu kerana ia boleh membuatkan orang ramai takut untuk mendapatkan vaksin.

“Ramai tak nak ambik vaksin sebab berita palsu macam nie la,” komen Siti Shafina EC pada hantaran KKM tersebut. – K! ONLINE