fbpx
Penghuni rumah kebajikan meraikan sambutan hari lahir mereka di Mesra Home Ampang, Ampang baru-baru ini.

Orang muda ‘tempah’ rumah kebajikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Ramai dalam kalangan wanita dan lelaki ber­kerjaya masa kini yang masih belum mendapat jodoh mengakui mereka mula ‘berkira-kira’ untuk tinggal di rumah orang tua apabila menginjak usia senja sebagai jalan terakhir bagi menghabiskan sisa hidup.

Seorang pemuda bernama Razak, 35, berkata, dia tidak menolak kemungkinan akan menghabiskan sisa hidupnya di rumah jagaan warga emas apabila usia­nya sudah tua.

Katanya yang lebih mesra disapa dengan gelaran Ajak, dia sering kali berasa kecil hati apabila ahli keluarganya kerap bertanya mengenai soal pasangan hidupnya.

Pada mulanya dia menjawab pertanyaan itu dalam nada gurauan dengan mengatakan mahu tinggal di rumah orang tua, namun kini dia benar-benar mahu menghabiskan sisa hidup di sana.

“Sejak saya berusia akhir 20-an dahulu, memang ahli ke­luarga sering bertanyakan tentang perkara ini sehingga saya ter­paksa membuat lawak seperti itu.

“Namun semakin lama saya rasakan tiada salahnya perancangan itu jika jodoh saya masih belum sampai hingga ke tua.

“Di rumah orang tua, kebajikan saya pastinya akan terjaga terutamanya makan minum serta penjagaan kesihatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Pelbagai aktiviti dijalankan di rumah kebajikan Mesra Home Ampang.

Ajak yang bekerja sebagai pegawai eksekutif di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur berkata, pada mulanya ahli keluarganya menganggap pe­rancangan itu hanyalah sebagai gurauan, namun selepas kerap diulangi, mereka pun mula berasa bimbang.

“Sekiranya ada jodoh pada masa hadapan, saya terima de­ngan hati terbuka, namun jika tiada, saya rasa lebih baik masuk rumah orang tua sahaja,” ujarnya.

Seorang lagi lelaki berusia 45 tahun yang mahu dikenali sebagai Ijan berkata, dia sudah bertekad untuk menjalani kehidupan tanpa pasangan selepas beberapa kali gagal dalam percintaan.

Ujarnya, dia telah putus pertunangan sebanyak tiga kali dan berpandangan tidak mahu me­nyakitkan hati serta memalukan keluarganya lagi.

“Kalau sudah tua nanti dan tiada orang mahu menjaga saya, duduk sahajalah di rumah orang tua-tua, ada orang yang menjaga, boleh jumpa kawan-kawan baharu atau mungkin bertemu jodoh di

sana,” ujarnya.

Bagi Nur Amiera Khaleed, 36, pula, dia juga tidak menolak kemungkinan untuk tinggal di pusat jagaan orang tua kerana sukar mencari pasangan hidup ketika ini.

Katanya, dia yang bekerja di sebuah pusat jagaan orang tua di Lembah Klang berkata, suasana aman dan tenang di sana membuatkannya tidak kisah untuk menghabiskan hari tuanya di rumah kebajikan.

“Apa yang saya lihat, suasana di rumah orang tua begitu menenangkan. Mereka ada rakan-rakan senasib yang menyokong antara satu sama lain, malah diberi penjagaan rapi.

“Saya tetap mahu berkahwin dan memiliki anak seperti orang lain, tetapi buat masa sekarang, saya tidak nampak impian itu akan tercapai,” katanya.

Faizah menguruskan Pusat Jagaan Sri Mesra yang menempatkan wanita warga emas di Taman Sri Watan, Ampang.

Ramai orang profesional daftar nama di pusat kebajikan

PETALING JAYA – Pengusaha pusat-pusat kebajikan mengakui semakin ramai golongan wanita berkerjaya dan profesional yang mendaftarkan nama mereka di rumah-rumah orang tua sejak beberapa tahun lalu.

Pengasas Pusat Jagaan Sri Mesra, Faizah Ali berkata, golo­ngan itu antaranya terdiri daripada usahawan dan mereka yang mempunyai perniagaan sendiri.

Menurutnya, kebanyakan wa­nita yang memohon untuk memasuki pusat jagaan kendaliannya adalah mereka yang masih belum berkahwin dan hidup dalam kesunyian.

“Selain itu, ada juga wanita yang sudah berkahwin, namun tidak mempunyai zuriat. Dise­babkan ini, masing-masing mahu masuk ke pusat jagaan ini kerana bimbang tiada orang yang akan menjaga mereka di hari tua,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Faizah berkata, selain itu terdapat juga individu yang mema­suki pusat jagaan orang tua kerana mereka mahu menghabiskan sisa hidup dalam keadaan aman sebelum meninggal dunia.

Bagi tujuan tersebut, ujarnya, semua kakitangannya terdiri da­ripada mereka yang terlatih dan mahir dalam selok-belok pengurusan warga emas.

“Lebih-lebih lagi untuk me­nguruskan warga emas yang mempunyai masalah kesihatan seperti alzheimer dan psikiatrik.

“Penyakit seperti ini mungkin menyukarkan ahli keluarga untuk menjaga mereka, jadi mereka dihantar ke sini,” ujarnya.

Sementara itu, Pengasas Pusat Jagaan Husna Arrashid, Harun Rashid berkata, trend golongan profesional sama ada lelaki atau wanita yang memohon untuk memasuki rumah kebajikan kini semakin meningkat.

Menurutnya, ada dalam kala­ngan penghuni pusat jagaan kendaliannya terdiri daripada bekas pegawai kerajaan, usahawan atau golongan profesional kelas pertengahan.

“Rata-rata mereka memasuki pusat jagaan kendalian saya secara sukarela kerana mereka sedar hakikat kehidupan masa kini.

“Mereka juga pernah bekerja, jadi mereka tahu anak-anak sibuk untuk menguruskan kehidupan masing-masing, jadi pusat jagaan ini adalah tempat untuk menghabiskan sisa hidup,” ujarnya.

Harun berkata, beliau meletakkan syarat bahawa sesiapa yang ingin memasuki pusat ja­gaannya haruslah mempunyai waris dan waris berkenaan yang perlu mendaftarkan orang tua ­
mereka.

“Saya akan terlebih dahulu menasihatkan mereka supaya memikirkan perkara ini secara mendalam kerana jika ada anak-anak yang boleh menjaga mereka, ia adalah lebih baik.

“Jika mereka tetap dengan pendirian mahu memasuki rumah kebajikan, kami akan me­nerima, namun hubungan mereka dan waris haruslah dalam kea­daan baik,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN