fbpx

Kleenso Resources tembusi pasaran serantau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
arisan produk keluaran Kleenso Resources yang berjaya mendapat tempat di pasaran tempatan dan luar negara.

Platform PKS

PETALING JAYA – Bagi menggapai kejayaan membangunkan perniagaan pastinya memerlukan pengorbanan selain ­mencabar kesabaran mental dan fizikal untuk meneruskan kelangsungan hidup masa depan.

Perancangan strategik juga menjadi kekuatan bagi melancarkan operasi syarikat selain dipacu oleh kerjasama daripada vendor dan pe­langgan.

Lebih penting sokongan dalaman daripada keluarga memberi semangat dan motivasi buat Pe­ngasas Syarikat Kleenso Resour­ces Sdn. Bhd. (Kleenso Resources), Lee Teck Meng untuk membangunkan empayar perniagaannya yang dimulakan pada 2003.

Suka duka serta pengalaman berharga yang dialami usahawan berusia 53 dari Negeri Sembilan mengoperasikan perniagaannya itu kini berbaloi kerana telah mendapat tempat di pasaran domestik dan di pasaran serantau malah diterima pakai ketika pandemik Covid-19 melanda negara sejak awal tahun lalu.

Norma baharu masyarakat yang mementingkan produk kebersihan dan penjagaan kesihatan telah melonjakkan nama Kleenso Resources kini.

Namun, tiada siapa tahu, ­usahawan ini pernah mengalami saat getir selepas berpindah ke kilang baharunya yang bernilai RM500,000 pada tahun 2009 telah memberi impak yang besar dalam aliran wang tunai syarikat.

Kesan langsung daripada masalah kewangan tersebut urusan untuk pembelian bahan mentah dan pengeluaran produk kilang yang terletak di Taman Perindustrian USJ 1, Subang Jaya telah terganggu.

Sehubungan itu, bagi mencari ‘dana penyelamat’, beliau terpaksa melepaskan sejumlah kepentingannya kepada pelabur lain sebagai usaha untuk memulihkan prestasi kewangan.

“Kami mengambil masa kira-kira sembilan bulan untuk kembali bangkit, memulihkan prestasi kewangan dan membeli semula kepentingan saham yang dilepaskan sebelum ini,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Teck Meng menjelaskan, pengalaman tersebut telah mematangkan Kleenso Resources untuk mendepani masa depan dengan melakar pelbagai kejayaan, malah lebih menarik syarikat sedang menyusun strategi untuk disenaraikan di Pasaran Ace di Bursa Malaysia menjelang tahun 2026.

Syarikat kini mengeluarkan empat rangkaian produk utamanya iaitu Kleenso untuk segmen produk penjagaan rumah dan pembersihan serta Kleenso Kills Germs yang terdiri daripada produk sabun tangan, pembersih tangan, pembasmi kuman permukaan dan lain-lain.

Selain itu, ia turut menawarkan Pesso yang terdiri daripada produk kawalan serangga serta penghalau nyamuk, kucing, cicak dan lain-lain di samping segmen produk Goood yang terdiri daripada barangan pakai buang se­perti bekas, sudu plastik dan beg sampah.

Teck Meng yang pernah berpengalaman mengoperasikan perniagaan berasaskan percetakan bersama rakan niaganya sebelum ini berasa bertuah ke­rana langkah kanannya itu ke dalam industri pengeluaran produk penjagaan kebersihan bertepatan.
Ini kerana permintaan terhadap barangan tersebut semakin bertambah seiring dengan isu krisis kesihatan akibat pandemik Covid-19.

Berdasarkan permintaan ter­sebut, perolehan jualan syarikat juga telah meningkat sebanyak 30 peratus.

Tambah beliau, sebanyak 90 peratus daripada perolehan jualan disumbangkan daripada segmen peruncitan, lima peratus masing-masing daripada segmen kontrak dan OEM serta segmen daripada pasaran luar negara.

“Saya terpaksa tinggalkan perniagaan percetakan kerana tidak bersesuaian dengan peredaran semasa.

“Jadi saya mula menceburi bidang baharu ini kerana mempercayai bahawa ia berpotensi dan bakal mendapat tempat di pasaran untuk jangka masa panjang.

“Semasa saya menceburi perniagaan ini, kebanyakan produk penjagaan kebersihan banyak diedarkan oleh syarikat multinasional.

“Kita sebagai rakyat Malaysia perlu melahirkan produk buatan sendiri dan ia bersesuaian dengan iklim, suhu dan persekitaran tempatan,” tegasnya.

Selepas membuat kajian dan pembangunan hampir setahun, syarikat telah berjaya memper­kenalkan produk sulungnya, pencuci lantai Kleenso 9-in-1 Anti-Bacterial Liquid Wax Floor Cleaner.

“Sebagai permulaan produk itu dijual dalam kalangan rakan-rakan dan sambutannya amat menggalakkan sehingga menca­tat sebanyak 120,000 botol pada tahun pertama.

“Sehingga kini, produk pencuci lantai itu masih popular dalam kalangan pelanggan,” jelasnya.

Perkembangan Kleenso Resources terus berkembang tahun demi tahun kerana strategi Teck Meng berjaya menembusi pasaran hingga ke rantau Asia Tenggara dengan membuka sebuah kilang di Filipina pada tahun 2018.

Buat masa ini, produk syarikat telah dieksport ke 12 buah negara termasuk Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam, Brunei dan Kemboja.

“Sumbangan pasaran eksport kini adalah sebanyak lima peratus kepada pendapatan syarikat pada masa sekarang,” jelasnya sambil menambah syarikat bercadang untuk menubuhkan syarikat di Indonesia dan Vietnam pada masa depan.

Bagi pengeluaran domestik pula, kilangnya yang seluas 24,000 kaki persegi dan berkapasiti 500 tan sebulan itu kini dalam perancangan untuk membangunkan pusat kajian dan pembangunan.

Ia bertujuan untuk membo­lehkan syarikat menghasilkan lebih banyak produk pembasmi kuman dan penjagaan kesihatan bagi menampung keperluan permintaan yang semakin bertambah.

“Syarikat juga mahu mendirikan kilang yang memiliki stan­dard amalan pembuatan baik (GMP) yang baharu selain memenuhi standard antarabangsa serta pensijilan halal bagi me­ningkatkan kapasiti,” ujarnya.

Selain itu, kami juga mahu memberi tumpuan terhadap produk pembasmi kuman dan pembersihan untuk ­persekitaran yang lebih rumit seiring ­dengan perubahan gaya hidup masyarakat masa kini,” jelasnya.

Harapan beliau kini mahu menjadikan Kleenso sebagai jenama tempatan nombor satu sekali gus menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI