fbpx
SEORANG AdiNita mengambil warga emas untuk dihantar ke PPV dan menemaninya sepanjang berada di PPV.

Khidmat peneman vaksinasi warga emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PAGI itu, Noraini Mohd. Noor, 67, duduk di ruang tamu kediamannya yang terletak di Paya Jaras, Selangor sementara menunggu ketibaan kenderaan yang akan membawanya untuk memenuhi janji temu vaksinasi.

Noraini merupakan salah seorang daripada jutaan warga emas di seluruh negara yang telah mendapat tarikh janji temu suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Tatkala jam di dinding tepat menunjukkan pukul 9.50 pagi, sebuah kenderaan yang dipandu oleh seorang gadis tiba di hadapan rumahnya.

Gadis itu dipertanggungjawabkan oleh syarikat e-hailing MakCik Travels untuk membawa Noraini menerima suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Setia City Convention Center, Shah Alam pada pukul 11 pagi.

Gadis yang melakukan perkhidmatan itu digelar sebagai AdiNita iaitu gelaran yang diberikan syarikat tersebut kepada wanita yang menjalankan tugasan gig untuk menjana pendapatan.

“Saya tinggal berdua bersama kakak di rumah ini. Disebabkan kami berdua mempunyai janji temu suntikan vaksin pada hari yang sama tetapi berbeza tempat, anak saudara saya yang tinggal di Seremban, Negeri Sembilan menempahkan kami perkhidmatan ini bagi memudahkan urusan vaksinasi pada hari tersebut.

“Pada awalnya, anak saudara saya itu mahu pulang dan menghantar sendiri saya dan kakak untuk mendapatkan vaksin kerana bimbang keselamatan kami yang telah berusia. Tambahan pula saya sering mengalami masalah sakit kaki.

“Begitupun disebabkan pada ketika ini tiada pergerakan rentas negeri mahupun daerah dibenarkan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh, dia mengambil keputusan untuk menggunakan perkhidmatan Teman ke pusat vaksin yang ditawarkan MakCik Travels,” katanya memulakan bicara kepada K2.

BUKAN sekadar membawa ke destinasi PPV, bahkan mereka turut membantu mengemudi kerusi roda dan urusan keperluan warga emas di PPV.

Cerita Noraini lagi, bukan sekadar menghantar, warga emas itu juga begitu gembira kerana AdiNita tersebut menemaninya sepanjang di PPV. Biarpun tidak ditemani ahli keluarga, namun Noraini bersyukur kerana proses vaksinasinya berjalan lancar.

Perkhidmatan seperti itu sememangnya diperlukan ramai golongan tua pada masa ini. Selain MakCik Travels, terdapat beberapa syarikat lain yang menawarkan perkhidmatan serupa seperti Teman Malaysia, GoCar dan Grab.

Sejak program vaksinasi dijalankan, golongan warga emas dikatakan sering berdepan kesukaran menghadiri janji temu yang telah ditetapkan.

Apatah lagi dengan pelaksanaan PKP Penuh pada masa ini yang mana larangan aktiviti rentas negeri mahupun daerah menyebabkan anak-anak tidak dapat pulang ke rumah orang tua masing-masing bagi membawa mereka ke pusat tersebut.

Lebih berdepan masalah sudah tentu warga emas wanita kerana mereka mungkin tidak mempunyai kemahiran memandu kereta dan keberanian untuk pergi seorang diri.

Menyedari masalah yang dialami oleh golongan ini, Dr. Sazlina Kamaralzaman yang merupakan salah seorang pengasas MakCik Travels mengambil inisiatif menubuhkan perkhidmatan Teman ke Pusat Vaksin.

Beroperasi sejak November 2018, Makcik Travels pada asalnya merupakan syarikat perkhidmatan teksi e-hailing khusus untuk kaum wanita yang mahu berasa lebih selesa dan selamat ketika menggunakan pengangkutan awam.

Begitupun menurut Sazlina yang juga merupakan pensyarah perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia, sejak awal perkhidmatan tersebut dijalankan lagi, mereka juga sering menerima permintaan untuk menemani warga emas wanita ke hospital atau pusat dialisis.

DR. SAZLINA

Lantaran itu, selain menjadi platform pengangkutan untuk menghantar kaum Hawa yang dikenali sebagai MakCik Drives ke sesuatu destinasi, mereka turut menawarkan perkhidmatan lain iaitu servis peneman yang dikenali sebagai MakCik Chaperone.

“Apabila kerajaan memulakan program pengambilan vaksin fasa kedua untuk warga emas pula, terdapat berita melaporkan kumpulan ini berdepan masalah mengakses program ekoran jurang teknologi, memahami kepentingan pengambilan vaksin dan ketiadaan ahli keluarga untuk membantu mereka ke PPV.

“Ditambah pula dengan laporan bilangan warga emas yang mahu mendapatkan vaksin kurang. Justeru kami mengambil inisiatif untuk membantu kerajaan dalam menangani hal ini.

“Semasa PKP 3.0 ini yang mana anak-anak tidak dapat pulang ke kampung membantu ahli keluarga mereka pergi ke PPV untuk menerima suntikan, khidmat sebegini nampak penting. Maka, kami mula menguar-uarkan perkhidmatan kami untuk warga emas dan golongan orang kelainan upaya wanita,” katanya.

Bercerita lanjut menurut Sazlina lagi, perkhidmatan tersebut mesra pengguna kerana semua tempahan yang dilakukan adalah menerusi WhatsApp bagi memudahkan urusan individu.

Semasa tempahan dibuat, individu akan diminta untuk memberi maklumat yang diperlukan dengan lengkap seperti nama, alamat, tarikh dan masa vaksinasi serta PPV yang dituju.

Tangkap layar aplikasi MySejahtera turut diperlukan untuk tujuan pengesahan memandangkan ia merupakan syarat untuk melakukan perjalanan oleh kerajaan.

Keperluan lain seperti kerusi roda, masalah kesihatan yang dialami juga akan ditanya supaya AdiNita jelas dengan tugasan yang akan dilakukan.

PERKHIDMATAN ini pada asasnya ditubuhkan untuk membantu pergerakan kaum Hawa yang mahu berasa lebih selesa dan selamat ketika menggunakan pengangkutan awam.

Sebaik maklumat lengkap diperolehi, ia akan dimasukkan ke dalam sistem dan dihantar kepada AdiNita yang menjalankan tugas tersebut.

Mengenakan caj sebanyak RM50 untuk dua jam pertama, terangnya lanjut, kebanyakan permintaan adalah dari kawasan Kuala Lumpur dan Selangor.

Begitupun, perkhidmatan Teman ke Pusat Vaksin oleh MakCik Travels turut disediakan di sekitar Taiping, Perak; Alor Setar, Kedah; Skudai, Johor Bahru dan Nilai, Negeri Sembilan atas permintaan orang ramai.

“Sambutan yang diterima adalah sangat baik dan positif.

“Ramai yang mengucapkan terima kasih kepada kami kerana menyediakan perkhidmatan yang dapat membantu masyarakat, lagi-lagi warga emas dan berkeperluan khas,” jelasnya.

Menjadikan pemandu dan chaperone MakCik Travels sebagai pekerjaan sambilan, menurut Nurul Amanina Abd. Razak, 23, tugasan tersebut dikatakan merupakan kenangan yang paling manis dalam hidupnya.

Mana tidaknya, sebagai anak perantau dan jauh dari keluarga, peluang berbakti dengan membantu warga emas mendapatkan vaksinasi dalam mendepani pandemik sedikit sebanyak mengubat kerinduannya terhadap ibu tercinta di kampung halaman.

Sepanjang program vaksinasi kebangsaan itu dijalankan, Nurul Amanina telah berpeluang membawa dua pelanggan ke PPV.

“Dalam tugasan tersebut, saya akan turut membantu membawa barangan pelanggan, menguruskan akaun MySejahtera mereka, selain mengisi borang-borang yang dikehendaki serta membawa pelanggan ke setiap stesen yang diarahkan di PPV,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN