fbpx

Oranje benam Austria untuk tempah slot 16 terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMAIN pertahanan Belanda, Denzel Dumfries menjerit kepuasan ketika meraikan jaringan kedua Belanda untuk menewaskan Austria 2-0 pada saingan Kumpulan C, Euro 2020 di Arena Johan Cruyff, Amsterdam sebentar tadi. - AFP

AMSTERDAM – Belanda menepati ramalan apabila mengesahkan tiket ke pusingan kalah mati selepas berjaya menundukkan Austria 2-0 dalam aksi Kumpulan B, Euro 2020 sebentar tadi.

Pada aksi di Arena Johan Cruyff itu, skuad The Oranje yang dikendalikan oleh Frank de Boer memulakan saingan dengan cukup agresif apabila memberi tekanan kepada pasukan pelawat daridapa menguasai perlawanan.

Kelebihan tersebut ternyata tidak disia-siakan pasukan tuan rumah apabila meraih sepakan penalti selepas pemain pertahanan Belanda, Denzel Dumfries dikasari di dalam kotak penalti pada minit ke-10.

Peluang hasil sepakan penalti itu disempurnakan oleh penyerang sensasi, Memphis Depay untuk menewaskan penjaga gol Austria, Daniel Bachmann.

Tersentak dengan gol tersebut, Austria cuba untuk mengawal tempo perlawanan tetapi gagal mencipta sebarang peluang berbahaya ke kubu pasukan lawan.

Malah, Depay mempunyai peluang untuk menambah gol tetapi percubaan yang dilakukan selepas menerima hantaran Wout Weghorst sedikit tersasar sebelum tamat babak pertama perlawanan.

Bersambung separuh masa kedua, Belanda terus ghairah mencari gol kedua dan ia berjaya dilakukan menerusi hasil gerakan cantik yang disudahkan dengan baik oleh Dumfries pada minit ke-67.

Percubaan terbaik Austria hadir menerusi rembatan jarak jauh yang dilakukan oleh kapten pasukan, David Alaba tetapi sedikit tersasar dan keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kemenangan itu menyaksikan Belanda bukan sahaja mengesahkan slot ke peringkat kalah mati, malah mereka juga sah bergelar juara Kumpulan B ketika saingan berbaki satu perlawanan.

Pasukan yang menduduki ranking ke-16 dunia itu dijadualkan bertemu Macedonia Utara pada aksi terakhir tengah malam Selasa depan, manakala Austria pula akan bersaing dengan Ukraine untuk memburu slot selaku naib juara Kumpulan B. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI