fbpx

KPDNHEP pandang serius isu komisen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengadakan libat urus dengan pemain industri dalam masa terdekat termasuk peniaga dan syarikat penyedia khidmat penghantaran bagi meneliti mekanisme terbaik bagi menjamin kepentingan semua pihak.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, pihak­nya mengambil serius laporan ­Kosmo! berhubung isu komi­sen yang dikatakan mencecah 30 peratus dikenakan kepada peniaga makanan dan minuman oleh penyedia perkhidmatan penghantaran makanan.

“Dalam menjamin kepenti­ngan dan kelangsungan ekosistem perniagaan serta perdagangan domestik, KPDNHEP komited memastikan semua rangkaian dan sektor perniagaan dapat mendepani cabaran ekonomi yang terkesan akibat pandemik Covid-19 ini.

“Justeru, berhubung isu ini, KPDNHEP tegas dalam memastikan tiada unsur atau elemen pencatutan berlaku dalam komponen caj atau komi­sen yang dikenakan kepada peniaga atau pengguna.

“Penyedia per­khidmatan penghantaran perlu mematuhi perkara di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

ROSOL

Kosmo! semalam me­laporkan tentang rayuan peniaga serta pemilik restoran yang memohon agar pengendali aplikasi itu mengurangkan kadar komisen dikenakan.

Dakwa mereka, mereka perlu membayar komisen kepada pe­ngendali aplikasi itu sehingga 30 peratus daripada harga setiap item makanan atau minuman yang ditempah para pelanggan.

Akibatnya, pengguna yang menjadi mangsa kerana terpaksa membayar pada harga yang lebih mahal selain menanggung kos penghantaran mengikut jarak lokasi.

Sementara itu, Rosol berkata, menerusi hubungan baik antara kementerian dan syarikat penyedia khidmat penghantaran makanan di negara ini, KPDNHEP yakin perbincangan akan mampu mewujudkan situasi menang-menang antara kedua-dua pihak.

“Ini penting kerana dalam situasi ekonomi negara yang mencabar akibat kesan pandemik Covid-19, KPDNHEP komited dalam memastikan ekosistem perniagaan terutama dalam fasa pemulihan ekonomi negara ini berjalan dengan baik dan memanfaatkan semua pihak termasuk peniaga kecil.

“KPDNHEP yakin perbinca­ngan bersama pemain industri terutama peniaga dan penyedia khidmat penghantaran makanan dapat menghasilkan kesepakatan yang memberi ke­seimbangan dan situasi menang-menang untuk kedua-dua pihak,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI