fbpx
Boy membuat ramalan dengan memilih daging yang digantung pada satu wayar yang diletakkan di dalam kandangnya yang mempunyai bendera pasukan terlibat. – Viral Press/MailOnline

Singa bernama ‘Boy’ tular ramal keputusan perlawanan Euro 2020

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KHON KAEN, THAILAND – Seekor singa albino di sebuah zoo di Thailand mula menjadi tumpuan pengunjung selepas berjaya meramalkan kemenangan dua perlawanan bola sepak Euro 2020, lapor portal MailOnline semalam.

Singa yang diberi nama Boy itu meneka kemenangan pasukan England ke atas Croatia pada hujung minggu lepas sebelum turut berjaya meramalkan kemenangan Belanda ke atas Ukraine.

Dalam klip video yang dimuat naik seorang penjaga zoo tersebut, Boy meneka tepat keputusan perlawanan antara Perancis dan Jerman serta Portugal menentang Hungary yang berlangsung semalam.

Singa itu membuat ramalan dengan memilih daging yang digantung pada satu wayar yang diletakkan di dalam kandangnya.

Setiap daging tersebut mempunyai satu bendera pasukan-pasukan yang terlibat dengan perlawanan.

Boy kemudiannya akan memilih ‘pemenang’ berdasarkan daging yang dipilihnya terlebih dahulu untuk dimakan.

“Ramalan keputusan Euro 2020 yang ditunjukkan oleh Boy adalah sebahagian daripada aktiviti riadah haiwan tersebut yang bermatlamat untuk menambah baik sikapnya.

“Aktiviti itu tidak bermaksud untuk menggalakkan orang ramai berjudi. Ia hanya untuk tujuan hiburan semata-mata,” ujar pegawai zoo tersebut, Narongwit Chodchoi.

Sebelum ini, pada perlawanan Euros 2008 dan Piala Dunia 2010, seekor sotong kurita bernama Paul menjadi perhatian dunia kerana berjaya ‘meramalkan’ secara tepat beberapa keputusan perlawanan. – AGENSI