fbpx

Harimau Malaya tamatkan badi kekalahan, tiga mata dibawa pulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAFAWI (kiri) meraikan jaringan bersama Syafiq selepas berjaya menyempurnakan sepakan penalti yang juga gol kemenangan 1-0 Harimau Malaya ke atas Thailand di Stadium Al Maktoum, Dubai sebentar tadi. - FAM

SKUAD Harimau Malaya akhirnya berjaya menamatkan badi kekalahan selepas membawa pulang tiga mata berharga apabila menewaskan Thailand 1-0 pada aksi terakhir peringkat Kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 sebentar tadi.

Pada aksi di Stadium Al Maktoum, Dubai itu, ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe membuat rombakan dalam kesebelasan utama dengan menyenaraikan Syahmi Safari, Arif Aiman Hanapi dan Akhyar Rashid, namun penyerang utama kekal milik Guilherme de Paula.

Keputusan itu ternyata membuahkan hasil apabila Arif dan Akhyar banyak membantu De Paula dalam memberi kesukaran terhadap benteng pertahanan skuad Gajah Perang.

Namun, pasukan Thailand terlebih dahulu memiliki percubaan terbaik menerusi pemain Leicester City, Thanawat Suengchitthawon pada minit ke-10, namun sedikit tersasar.

De Paula dan kapten pasukan, Aidil Zafuan Abd. Radzak turut memiliki peluang menerusi set piece tetapi tandukan mereka berdua berjaya diselamatkan penjaga gol lawan, Chatchai Budprom.

Pemain tengah negara, Azam Nor Azih tidak melepaskan peluang untuk melakukan percubaan jarak jauh tetapi Chatchai tampak cemerlang mengawal kubu Thailand sekali gus keputusan 0-0 berakhir pada babak pertama.

Bersambung separuh masa kedua, Cheng Hoe melakukan pertukaran dengan memasukan Syafiq Ahmad dan Safawi Rasid untuk digantikan dengan Arif dan Brendan Gan.

Percaturan tersebut menjadi apabila gerakan lincah Safawi telah menyaksikan dirinya diterjah pertahanan Thailand, Ernesto Phumipha sekali gus dihadiahkan sepakan penalti.

Kesempatan itu tidak disia-siakan oleh Safawi untuk memastikan Chatchai tewas apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-52.

Tersentak dengan gol tersebut, Thailand terus mengasak kubu Malaysia tetapi rentetan percubaan yang dilakukan oleh penyerang sensasi, Suphanat Mueanta gagal menguji penjaga gol negara, Khairulazhan Khalid.

Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kemenangan tersebut menyaksikan skuad negara menduduki tangga ketiga Kumpulan G sekali gus layak ke pentas kelayakan ketiga Piala Asia 2023.

Kejayaan itu memberi khabar gembira buat kem negara sebelum pulang ke tanah air selepas mengharungi empat kekalahan berturut-turut sebelum ini.

Dalam perkembangan sama, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) turut melakar kemenangan dramatik 3-2 ke atas Vietnam pada aksi terakhir di Stadium Zabeel sekali gus memintas status juara Kumpulan G. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI