fbpx

Dua wanita rugi RM96,298 diperdaya ‘Pegawai Telekom Malaysia’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PORT DICKSON – Dua wanita mengalami kerugian keseluruhan berjumlah RM96,298 selepas diperdaya sindiket ‘Macau Scam’ yang menyamar sebagai Pegawai Telekom Malaysia.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, kedua-dua mangsa iaitu seorang kerani jualan berusia 34 tahun dan seorang pembantu akauntan, 26, membuat laporan polis kelmarin setelah menyedari wang mereka dipindahkan ke akaun sindiket.

“Mangsa seorang kerani jualan, 34, telah menerima panggilan daripada Ibu Pejabat Telekom Malaysia memaklumkan terdapat penggunaan internet secara curi atas nama mangsa di sebuah premis di Seremban.

“Panggilan telah disambungkan kepada Asisten Komisioner Datuk Fazliy dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban dan diminta menyerahkan butiran perbankan ‘online’ dan nombor kod pengesahan transaksi (TAC) yang diterima untuk tujuan semakan juruaudit Bank Negara,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Menurut Aidi Sham, mangsa juga telah diminta membuat kemasukan wang sebanyak RM20,000 yang dikatakan milik juruaudit Bank Negara.

“Selepas itu, mangsa telah membuat semakan dengan pihak bank dan mendapati berlaku transaksi pindahan ke dalam satu akaun bank sebanyak RM19,998.

“Kerani jualan itu telah mengalami kerugian keseluruhan RM39,998,” katanya.

Dalam pada itu, Aidi Sham berkata,mangsa kedua yang merupakan pembantu akauntan pula telah menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai kakitangan Telekom Malaysia dan memaklumkan terdapat pendaftaran Unifi menggunakan butiran diri mangsa.

“Panggilan itu telah disambungkan kepada IPD Seremban dan mangsa dimaklumkan terlibat dengan kes judi haram dan nama telah disenarai hitam.

“Mangsa telah menyerahkan maklumat perbankan online miliknya, bapa serta nenek untuk tujuan membersihkan nama,” katanya.

Jelas beliau, mangsa juga diarahkan untuk menyerahkan nombor pas pengesahan transaksaksi (OTP) yang diterima.

“Selepas membuat semakan akaun, mangsa mendapati berlaku pindahan wang dalam sembilan transaksi ke dalam akaun yang belum dikenalpasti sebanyak RM56,300,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sepuluh tahun dan sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai panggilan-panggilan yang memaklumkan mereka sebagai badan penguatkuasa atau institusi kewangan.

“Selain itu, mereka juga diminta untuk tidak mendedahkan butiran perbankan kepada pihak yang tidak dikenali bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan,” katanya lagi.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI