fbpx

Janda mangsa rogol didakwa edar dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kedua-dua tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini atas dua pertuduhan mengedar dan memiliki dadah jenis methamphetamine dua minggu lalu. Foto ZULHANIFA SIDEK

KOTA BHARU – Seorang janda yang dipercayai dirogol seorang pegawai penyiasat narkotik didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini bersama bekas suaminya atas dua pertuduhan mengedar dan memiliki dadah jenis methamphetamine dua minggu lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada mereka yang hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh berusia 29 dan 28 tahun itu didakwa telah mengedar dadah disyaki jenis methamphetamine dengan berat kasar 61 gram.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, pasangan bekas suami isteri itu didakwa telah ada dalam kawalan mereka dadah disyaki jenis methamphetamine dengan berat kasar 13.6 gram.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan tiga hingga sembilan sebatan jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan oleh mereka di sebuah rumah di sini kira-kira pukul 4.20 petang pada 4 Jun lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Edabayu Subhan manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Mahkamah menetapkan tarikh 15 Ogos depan untuk sebutan semula kes dan laporan kimia.

Wanita dua anak itu yang merupakan seorang pembantu rumah dipercayai menjadi mangsa dalam kes rogol melibatkan seorang pegawai penyiasat polis berpangkat Inspektor pada minggu lalu.

Bagaimanapun, pegawai polis itu dilepaskan dengan jaminan polis semalam selepas ditahan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan berhubung kes tersebut. – K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI