fbpx
MOORE muncul penyelamat Wales apabila meledak gol penyamaan ketika terikat 1-1 menentang Switzerland kelmarin. – AFP

Wales pamer petanda positif aksi pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAKU – Bintang Wales, Gareth Bale menganggap, kejayaan mengikat Switzerland 1-1 di Stadium Olimpik Baku kelmarin mampu menjadi ‘batu loncatan’ buat mereka meraih keputusan positif pada kempen Euro 2020.

Wales meraih satu mata berharga selepas bangkit daripada ketinggalan satu gol kepada Switzerland hasil jaringan Breel Embolo dengan menyamakan kedudukan menerusi penyerang gantian, Kieffer Moore pada minit ke-74.

Meskipun gagal mencetak nama selaku penjaring gol, namun Bale, 31, berbangga dengan kesungguhan tinggi dan sema­ngat tidak mengaku kalah ditunjukkan rakan-rakan sepasukannya untuk mengelak kekalahan dalam perlawanan itu.

“Perlawanan ini agak tegang sedikit kerana kedua-dua pasukan cuba menampilkan permai­nan terbaik. Saya tak anggap ini adalah keputusan buruk, sebaliknya ia adalah petanda positif buat kami.

“Pasukan anda boleh ‘hancur’ apabila ketinggalan dalam perlawanan, namun kami menunjukkan semangat juang dan ke­sungguhan tinggi untuk bangkit dan hasilnya berjaya meraih gol penyamaan.

“Jadi, saya harap kami dapat menjadikan keputusan ini sebagai batu loncatan untuk meraih keputusan yang lebih membanggakan dalam dua perlawanan seterusnya,” kata Bale yang beraksi dengan gergasi Sepanyol, Real Madrid.

Sementara itu, Moore yang meledak gol penyamaan Wales, teruja dengan kebangkitan tersebut sekali gus merasakan mampu mencipta sesuatu untuk ke peringkat kalah mati daripada saingan Kumpulan A.

“Sudah tentu kami mahu menang tetapi sekurang-kurangnya keputusan seri ini masih menghidupkan peluang kami,” katanya yang bertekad untuk terus menjaringkan gol buat Wales menje­lang aksi kedua menentang Turki pada 17 Jun ini. – AGENSI

BERITA BERKAITAN