fbpx

Program Vaksinasi Bergerak untuk penduduk Parit Sulong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noraini meninjau proses suntikan vaksin Covid-19 kepada penduduk Parit Sulong, Batu Pahat, Johor hari ini.

BATU PAHAT – Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) melaksanakan Program Vaksinasi Bergerak (MVP) di Parit Sulong dekat sini bermula hari ini sehingga 15 Jun ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, program rintis itu bertujuan membantu kerajaan bagi menyediakan akses yang lebih luas kepada masyarakat luar bandar mendapatkan vaksin Covid-19.

“Usaha digerakkan HCTM ini antara beberapa pendekatan baharu dalam pemberian vaksin yang cuba diperkenalkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerusi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) institut pengajian tinggi (IPT).

“Projek rintis ini menyasarkan 300 vaksinasi bagi penduduk setempat terutama bagi golongan warga emas, mereka yang tidak mempunyai capaian kepada MySejahtera, masalah kemudahan kenderaan dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noraini berkata, projek rintis itu melibatkan dua model pelaksanaan melibatkan sebuah PPV Satelit diwujudkan di Maktab Rendah Sains MARA Batu Pahat dengan sasaran vaksinasi seramai 200 penduduk dalam tempoh dua hari.

Kata beliau, manakala dua unit PPV Bergerak dengan lapan kakitangan vaksinasi akan bergerak ke pusat vaksinasi yang telah dikenal pasti bagi memberi suntikan vaksin kepada 50 penduduk setempat dengan tumpuan kepada golongan kurang upaya dan berkeperluan khas.

Jelas beliau, program rintis itu melibatkan kerjasama strategik pelbagai jabatan kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri dalam membendung penularan wabak Covid-19 serta membentuk imuniti kelompok dalam tempoh yang segera.

“KPT yakin dan komited bahawa inisiatif bersama ini mampu melandaikan jangkitan Covid-19,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI