fbpx

Penganggur didakwa tawar, beri sogokan kepada ASP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abd. Aziz dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menawarkan dan memberikan suapan kepada ASP polis. FOTO: ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM – Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan menawar dan memberikan suapan kepada seorang pegawai polis kanan sebagai dorongan melepaskan dirinya daripada siasatan memiliki dadah jenis syabu, bulan lalu.

Tertuduh, Abd. Aziz Abdullah @ Shariff, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rihaida Rafie.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada empat orang anak itu menawarkan suapan wang tunai berjumlah RM120,000 kepada seorang pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang.

Suapan itu sebagai dorongan tidak mengambil tindakan undang-undang kerana memiliki dadah jenis Syabu yang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Difahamkan tertuduh memiliki dadah dianggarkan seberat lima kilogran dan berdasarkan seksyen ADB itu memperuntukkan hukuman gantung sampai mati sekiranya disabitkan kesalahan.

Kesalahan itu dilakukan Abd. Aziz di kawasan tempat kenderaan di Transit Aliran Massa (MRT) Sri Damansara pukul 6 petang, 24 Mei lalu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam turut didakwa memberikan suapan RM120,000 menerusi rakannya, Mohd. Nizam Mohamed Lazim kepada ASP sama atas tujuan sama di sebuah stesen minyak di Jalan Mahogani, Petaling Jaya pukul 9 malam, hari sama.yu

Justeru, dia didakwa bagi kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum Seksyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi bagi setiap pertuduhan sekiranya disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Fadhli Ab. Wahab tidak menawarkan sebarang jaminan susulan tertuduh masih dalam tahanan reman polis mengikut Seksyen 39 B ADB 1952 yang kini ditempatkan di Penjara Sungai Buloh.

Hakim membenarkan permohonan pendakwaan dan sebutan semula kes pada 12 Julai depan.

Kosmo! pada 3 Jun lalu melaporkan seorang peniaga ayam bakar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan bersubahat memberikan wang suapan RM120,000 kepada seorang pegawai kanan polis sebagai dorongan tidak mengambil tindakan kepada rakannya yang memiliki dadah. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI