fbpx

Lelaki mati ditikam jiran mabuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SEBERANG PERAI – Seorang lelaki maut selepas ditikam bertubi-tubi oleh rakannya dipercayai mabuk di sebuah pangsapuri di Taman Desa Jawi, Nibong Tebal di sini awal pagi tadi.

Pemandu lori berusia 35 tahun itu disahkan meninggal dunia di Hospital Sungai Bakap (HSB) di sini kira-kira empat jam selepas kejadian itu berlaku di rumah suspek pada pukul 3.45 pagi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintendan Lee Chong Chern berkata, kejadian tercetus selepas suspek berusia 27 tahun serta mangsa yang juga jirannya mahu pulang ke rumah selepas keluar minum.

Isteri suspek yang berusia 23 tahun menegur suaminya agar tidak membuat bising.

Menurutnya, akibat teguran itu, suspek memukul wanita itu di ruang tamu dengan kejadian tersebut disaksikan oleh mangsa serta seorang saksi iaitu wanita berusia 50 tahun yang menyewa bilik di rumah berkenaan.

“Menurut saksi, dia nampak suspek memukul isterinya sebelum lelaki itu mengambil dua anak yang masih kecil dan membawa masuk ke dalam bilik yang mana mangsa turut berada di situ.

“Saksi itu terdengar bunyi bising (sekali lagi) sebelum dia keluar (bilik) dan nampak suspek menikam belakang badan mangsa dengan pisau,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, saksi dan isteri suspek cuba menghalang, namun lelaki yang bekerja sebagai pengutip sawit itu terus menikam mangsa bertubi-tubi, bahkan sehingga terkena pada lengan saksi.

“Mangsa yang cedera sempat meminta saksi menghubungi ambulans, namun dia disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HSB kira-kira pukul 7.15 pagi.

“Terdapat tujuh kesan tikaman pada badan mangsa. Polis merampas sebilah pisau sepanjang 25 sentimeter di tempat kejadian,” katanya.

Suspek ditangkap dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI