fbpx
PESANAN Muhaya tentang 'wanita kena buat bodoh-bodoh sikit' mendapat perhatian banyak pihak termasuk Amalina, Aishah, Sharifah Amani dan ramai lagi.

Debat ‘bodoh-bodoh sikit’ Muhaya, selebriti, netizen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINGGU ini, gelanggang maya negara memanas dan menggelegak dengan kisah-kisah panas yang tidak pernah hilang daripada menjadi bahan perdebatan netizen di laman sosial.

Salah satunya tidak lain tidak bukan berkaitan isu ‘bodoh-bodoh sikit’ yang terbit dari mulut pakar motivasi terkenal dan doktor mata terkenal, Profesor Datuk Dr. Muhaya yang mencetuskan perbalahan umumnya, khusus golongan wanita.

Jika diteliti semua klip video berdurasi 56 saat itu, Dr. Muhaya jelas sedang membahaskan isu mengenai punca kenapa segelintir wanita di negara ini lambat menemui jodoh.

Katanya, wanita harus bersikap ‘bodoh-bodoh sedikit’ di hadapan lelaki dan tidak menjadi terlalu independent (berdikari), kerana jika tidak, wanita akan sukar mendapat jodoh.

Rentetan itu, platform media sosial seperti Twitter, Facebook dan Instagram menjadi medan ‘perang’ untuk netizen umumnya wanita melemparkan semula ‘peluru’ yang dihumbankan kepada mereka sebelum ini.

Pelbagai lapisan umur tanpa mengira status rata-rata kurang senang dengan kenyataan yang dikeluarkan Muhaya, sekali gus memperlihatkan golongan wanita tampak benar-benar bodoh di hadapan lelaki dek mengejar jodoh.

Dalam keghairahan melontarkan pendapat, paling mencuri tumpuan dalam media sosial ialah ciapan yang dimuat naik Dr. Amalina Bakri.

“Ibu saya tidak besarkan saya untuk jadi bodoh-bodoh sikit di depan lelaki, supaya saya dapat bertemu jodoh.

“Anda memberi mesej yang salah kepada golongan wanita dan perempuan muda.

“Wanita tidak sepatutnya merendahkan tahap kebijaksanaan mereka hanya untuk memikat lelaki,” ciap Dr. Amalina ringkas, mendalam dan sungguh tersirat maksudnya.

Pada masa sama, doktor pakar bedah di London itu turut menyatakan bahawa wanita harus menjadi diri sendiri dan tidak perlu merendahkan martabat serta maruah diri semata-mata untuk berkahwin.

Selain Amalina, segelintir selebriti tanah air yang turut lantang membidas Dr. Muhaya dan tidak bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan termasuklah Sharifah Amani, Dr. Soo Wincci, Aishah dan ramai lagi.

Ujar Amani atau nama lengkapnya Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya, dirinya tidak perlu jadi bodoh untuk bertemu jodoh.

“Jodoh saya sudah tertulis oleh Yang Maha Kuasa. Saya percaya dan saya berusaha untuk kehidupan yang lebih baik untuk diri sendiri dan keluarga sementara tunggu apa yang sudah tertulis buat saya.

“Tak payah jadi bodoh. Pegang pada iman, percaya dengan Allah. Insya-Allah, nanti dia (jodoh) sampai,” ciapnya dalam Twitter.

Penyanyi, Dr. Soo Wincci pula berharap wanita masa kini sentiasa menjadi diri sendiri daripada menunjukkan ‘bodoh-bodoh sikit’ semata-mata mahu cepat dapat jodoh.

Katanya, pengalaman dalam percintaan masa lalu hampir membuatkannya melupakan cita-cita dan kerjaya disebabkan nyaris menuruti kemahuan kekasih.

“Saya faham apa yang cuba disampaikan mengenai isu ‘buat-buat bodoh’ tetapi zaman sudah berubah dan pemahaman golongan khususnya anak muda zaman sekarang sudah berbeza.

“Ramai bagi komen, perlukah mereka buat begitu untuk ‘mengikat’ bakal suami. Tidak semestinya, sebab lelaki zaman sekarang pun ramai yang bijak menilai tetapi ditakuti ada juga yang ambil kesempatan.

“Jangan disebabkan hanya mahu berkahwin sahaja kita tunjuk bodoh kerana perjalanan perkahwinan itu masih panjang. Jangan nanti disebabkan tunjuk bodoh dari awal, hidup kita ditindas. Jadi saja diri sendiri,” katanya.

SOO WINCCI

Dalam setiap perbalahan yang berlaku, perlu diingat tidak semua akan membalas serangan kepada si mangsa kerana pasti ada insan-terpilih yang ‘dihantar’ untuk tampil mempertahankan apa yang berlaku.

Antaranya termasuklah penyanyi Aishah yang secara terang-terangan mempertahankan kenyataan Muhaya tempoh hari.

Menurut penyanyi bersuara lantang itu, apa yang dikongsikan pakar motivasi itu memang ada betulnya dan tidak salah kiranya untuk wanita berpura-pura bodoh di hadapan orang lain bagi mendapatkan apa yang mereka mahukan.

“Rilekslah tak jadi apa pun kalau ada kalanya kita kena buat-buat bodoh untuk dapatkan apa yang kita nak. Bukan jadi betul-betul bodoh pun,” tulisnya.

Sehari selepas gelombang perdebatan tidak menampakkan tanda reda, Khamis lalu, Muhaya tampil memohon maaf atas videonya yang menimbulkan salah faham ramai.

“Untuk makluman hantaran klip 56 saat tersebut adalah petikan ‘live’ di Facebook Prof Muhaya dan YouTube Prof Muhaya TV berdurasi 45 minit yang diterbitkan pada 6 Februari 2021 bertajuk Antara Cinta dan Cita-Cita.

“Siaran ‘live’ Bonda (Muhaya) tersebut bagi menjawab persoalan KK-Talib dan komen-komen daripada Facebook berkaitan wanita yang dalam dilema, antara mengejar kerjaya, cinta serta keluarga.

“Bagaimanapun Bonda faham klip yang telah disunting kepada 56 saat menimbulkan pelbagai reaksi kurang senang dalam kalangan masyarakat terutama kaum wanita sehingga menimbulkan persoalan, perbalahanan dan sangkaan,” katanya merendah diri menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

Selain kisah ‘bodoh-bodoh sikit’, dunia hiburan tanah air turut panas dengan isu sebuah program mencungkil bakat amatur All Together Now Malaysia (ATNMY) yang teruk dikecam gara-gara melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Selain jumlah 50 juri dalam satu masa dan tiada pemakaian memakai pelitup muka, elemen berat sebelah antara acara keagamaan (dilarang) dan hiburan (dibenarkan) turut diperkatakan netizen.
Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan polis sudah menjalankan siasatan hanya selepas netizen memberikan ‘arahan’. Terbaharu, 50 orang juri selebriti program tersebut akan dipanggil polis untuk siasatan lanjut.