fbpx

Perkhidmatan pengangkutan awam terus dibenarkan beroperasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Semua perkhidmatan pengangkutan awam termasuk teksi dan e-hailing dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilanjutkan sehingga 28 Jun depan namun perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, bagi memastikan kelancaran perjalanan, pemandu teksi diminta mendapatkan surat kebenaran beroperasi daripada Sistem Maklumat Industri Logistik (SMILE) di https://application.mot.gov.my.

“Pemandu e-hailing pula boleh mendapatkan salinan surat kebenaran kementerian yang telah diberikan kepada syarikat operasi (e-hailing operator) masing-masing,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata,  setiap kenderaan penumpang pengangkutan awam teksi dan e-hailing dihadkan kepada dua iaitu seorang pemandu dan seorang penumpang termasuk kenderaan bersaiz besar seperti pacuan empat roda dan van.

Menurutnya, kebenaran diberikan untuk tiga orang termasuk pemandu bagi tujuan perubatan seperti janji temu hospital berserta surat pengesahan doktor atau vaksinasi yang disahkan melalui aplikasi MySejahtera dan tujuan kecemasan.

Bagaimanapun, kata Ka Siong, para pengguna pengangkutan awam ditegaskan perlu mendapatkan kebenaran rentas negeri atau rentas daerah daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya menggunakan mana-mana mod pengangkutan awam bagi perjalanan berkaitan.

“Kesemua pemain industri yang telah mendapat kelulusan di bawah SMILE bertarikh sebelum 1 Jun boleh memuat turun semula surat pengesahan beroperasi di laman web sama tanpa perlu mendaftar semula,” katanya.

Jelas beliau, kementerian sekali lagi mengingatkan semua pihak termasuk para pemandu dan pengguna pengangkutan awam agar sentiasa mematuhi SOP termasuklah memakai pelitup separuh muka, menggunakan cecair pembasmi kuman dan mengamalkan penjarakan sosial serta mengimbas kod QR MySejahtera.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI