fbpx
WARIS Mohammad Said Hamayel, 15, menangisi kematiannya di sebuah hospital di Nablus, Tebing Barat hari ini. - AFP

Tentera Israel tembak mati remaja 15 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMALLAH, Tebing Barat – Seorang remaja Palestin meninggal dunia hari ini selepas tentera Israel menembak mangsa semasa pertempuran di Tebing Barat, kata pasukan perubatan dan Kementerian Kesihatan Palestin.

“Mohammad Said Hamayel, 15, terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Israel  dekat Beita, selatan Nablus,” kata Pertubuhan Bulan Sabit Merah  Palestin. 

Kementerian Kesihatan Palestin berkata, enam yang lain cedera terkena peluru hidup.

Menurut agensi berita Palestin, Wafa, pertempuran itu berlaku semasa protes awam terhadap  pembinaan penempatan peneroka haram Yahudi berhampiran sebuah perkampungan Palestin. Tentera Rejim Zionis bertindak balas dengan melepaskan tembakan peluru hidup dan gas pemedih mata.

Kematian remaja itu berlaku sehari selepas tiga penduduk Palestin dibunuh komando Israel dalam misi untuk menangkap suspek pejuang Palestin di Tebing Barat.

Keganasan di Tebing Barat meningkat pada awal Mei lalu yang menyaksikan sekurang-kurangnya 30 rakyat Palestin maut dalam pertempuran dengan tentera Rejim Zionis. 

Perkembangan itu menyusul selepas rusuhan di Baitulmuqaddis Timur yang dirampas Israel membawa kepada pertempuran selama 11 hari antara tentera Israel dan pejuang Palestin di Gaza.

Kira-kira 475,000 peneroka haram Yahudi tinggal di wilayah Tebing Barat yang dijajah Israel.

Wilayah tersebut mempunyai lebih 2.8 juta warga Palestin. – AFP