fbpx

Lima beradik kongsi dua gajet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fatin dan ibu bapanya ceria ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Kerangai, Jelebu.

JELEBU – Berkongsi dua gajet untuk kegunaan lima beradik bukan penghalang kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 untuk mendapat keputusan kesemua A dalam lapan mata pelajaran yang diambilnya.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pertang, Fatin Nasuha Mahalil, 18, berkongsi dua telefon bimbit milik ibunya, Zuraidah Nasution, 45, dan juga kakak sulung, Nurul Izzati Mahalil, 21, sepanjang menjalani kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Pelajar aliran sastera itu berkata, dia juga kadangkala terpaksa meminjam telefon bimbit ayahnya, Mahalil Abas, 46,

“Kami adik beradik terpaksa berkongsi telefon untuk menyiapkan kerja sekolah masing-masing dan melihat nota yang dikongsikan guru melalui group WhatsApp sekolah.

“Bagaimanapun, adik-adik saya memberi keutamaan kepada saya untuk menggunakan telefon kerana saya akan mengambil SPM.

“Alhamdulillah, saya akhirnya berjaya mendapat 3A+, 4A serta 1 A- dalam SPM 2020 hasil berkat doa yang tidak putus-putus daripada ibu bapa serta guru-guru yang sanggup mengajar sehingga pukul 10 malam,” katanya ketika ditemui di Kampung Kerangai, di sini, tadi.

Fatin berkata, walaupun tidak dapat belajar secara bersemuka, namun gurunya menggunakan kaedah Google Meet dan memuat turun perisian yang boleh menerangkan langkah demi langkah penyelesaian mata pelajaran terutama Matametik dengan lebih teliti serta jelas.

“Malah, ada juga guru dalam sehari yang menawarkan kelas lebih dari sekali bagi memastikan calon SPM dapat memahami mata pelajaran yang mereka masih ketinggalan untuk memahaminya,” ujarnya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI