fbpx

Boleh cucuk vaksin lepas tiga bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Adli (kanan) menghadiahkan buku 'Keranamu Carona' kepada pegawai perubatan sebelum dibenarkan keluar dari PKRC UiTM Chendering di sini baru-baru ini.

PETALING JAYA – Bekas pesakit Covid-19 boleh dipertimbangkan untuk menerima suntikan vaksin selepas tempoh tiga atau enam bulan mereka sembuh.

Pakar Virologi Universiti Sains Malaysia, Prof Madya. Dr. Yahya Mat Arip berkata, tempoh enam bulan adalah seperti yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) pula menyarankan pengambilan vaksin hanya selepas tempoh tiga bulan.

“Saranan CDC AS itu bagaima­napun tetap bergantung kepada keadaan pesakit sama ada telah sembuh sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Yahya berkata, tempoh ter­tentu diperlukan sebelum bekas pesakit dibenarkan mengambil suntikan vaksin Covid-19 bagi memastikan sistem imun dan antibodi mereka telah terbina secara semulajadi.

Menurut beliau, proses itu mengambil masa dan ia berbeza-bagi setiap individu.

Justeru, katanya, tiada anggaran masa yang tepat bilakah masa sesuai bagi mereka yang telah sembuh daripada jangkitan Covid-19 boleh disuntik vaksin Covid-19 kerana ia bergantung kepada keadaan seseorang.

“Kita cuma boleh jangkakan antara tiga atau enam bulan seperti yang disarankan pihak berkuasa kesihatan,” ujarnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah pada 5 Februari lalu turut memaklumkan bekas pesakit Covid-19 boleh dipertimbang menerima suntikan vaksin dalam tempoh antara tiga hingga enam bulan selepas pulih.

Menurutnya, perkara paling penting adalah untuk melihat sekiranya ada jangkitan baharu dikesan terhadap pesakit itu.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Program Mikrobiologi Institut Sains Biologi Fakulti Sains Universiti Malaya, Dr. Jasmine Elanie Khairat berkata, pengambilan vaksin Covid-19 sebelum bekas pesakit sembuh sepenuhnya tidak akan memberi impak yang terlalu buruk.

Bagaimanapun katanya, vaksin Covid-19 akan menjadi kurang efektif disebabkan badan bekas pesakit sedang menghasilkan antibodi melawan virus dan pada masa sama melawan vaksin berkenaan.

“Jika ketika suntikan itu kita ada simptom, susah untuk membezakan antara simptom di­sebabkan Covid-19 atau disebabkan oleh pengambilan vaksin,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, imuniti hasil suntikan vaksin Co­vid-19 mungkin boleh menjangkau lebih setahun berdasarkan ujian klinikal fasa 3 pada tahun lalu.

“Mereka yang telah menerima suntikan dos penuh sejak September 2020 didapati masih lagi mempunyai tahap antibodi yang tinggi sehingga kini,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI