fbpx

50 juri, peserta ATNMY mulakan debaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PROGRAM ATNMY baru memulakan minggu pertama persembahan malam tadi.

SELEPAS menemui penonton di lebih 16 buah negara, kini masa untuk rakyat Malaysia melalui kehangatan program realiti All Together Now Malaysia (ATNMY), program asal United Kingdom terbitan BBC One.

Sebelum ini, program realiti yang menampilkan 100 orang juri itu telah mendapat sambutan hangat penonton dari pelbagai negara seperti, Australia, Rusia, Turki, Brazil, Norway, Finland, dan Perancis.

Terbaharu, Malaysia merupakan negara ke-17 di dunia dan yang pertama di Asia Tenggara menerbitkan program sedemikian dalam versi tempatan.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd. Kamal, format ATNMY dipilih bagi mengetengahkan bakat-bakat baharu, selain daripada kalangan artis sedia ada.

“Astro memilih format ini sebab kita sudah lama menyepi daripada menganjurkan sebarang pertandingan nyanyian yang membabitkan penyertaan amatur.

“Kalau sebelum ini, ada Big Stage dan Gegar Vaganza yang disertai dalam kalangan artis. Justeru, ini merupakan satu platform yang dibuka khas untuk khalayak mengetengahkan bakat.

“Menerusi program sebegini, kita ingin tunjuk bahawa Malaysia masih mempunyai bakat-bakat baharu yang belum diketengahkan,” katanya pada sidang akhbar ATNMY secara virtual baru-baru ini.

Tambah Emarina, ATNMY masih mengekalkan format asal program, namun terdapat pengisian elemen tempatan yang disuntik bagi menambah baik format asal, bersesuaian dengan resam norma baharu, budaya dan sensitiviti rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP), ATNMY juga melakukan sedikit perubahan, terutama berhubung jumlah juri yang terlibat.

“Jika di luar negara mereka menampilkan 100 orang juri, namun di Malaysia program ini hanya menampilkan 50 orang juri.

Jaclyn Victor yang merupakan salah seorang juri ATNMY mengaku sangat teruja menyertai program ini setelah sekian lama duduk di rumah disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, menerusi ATNMY, mereka bukan sahaja dapat berkumpul dengan rakan artis, malah beliau juga dapat melihat bakat-bakat baharu yang cukup menakjubkan dan belum diketengahkan kepada umum.

“Saya sangat teruja menjadi salah seorang daripada 49 juri yang lain dan sangat berbangga melihat semua peserta yang membuat persembahan di hadapan 50 juri.

“Kadang-kadang, saya pun jika berdepan dengan tiga atau empat orang juri sudah gugup, ini pula mereka yang harus menyanyi di depan 50 orang juri,” katanya.

Selain Jaclyn, selebriti lain yang turut terlibat sebagai juri ialah Erra Fazira, Khai Bahar, Siti Nordiana, Azzam Sham, Ifa Raziah, Kaka Azraff, Andi Bernadee, Tabby Dolla, Ernie Zakri, Syamel, Noryn Aziz, Mark Adam, Tuju K-Clique dan Datuk AC Mizal selaku Kapten.

Sherry Alhadad pula berperanan sebagai hos bagi mengendalikan program tersebut yang akan bersiaran selama 10 minggu.

Menggunakan tagline Bersatu Dengan Lagu, ATNMY akan bersiaran setiap Ahad bermula malam tadi (6 Jun 2021) menerusi saluran Astro Ria dan Astro Ria HD.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI