KUALA LANGAT – Polis mengesahkan wanita yang tular kerana mengeluarkan kata-kata kesat kepada polis yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) telah tampil memberi keterangan kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor berkata, pihaknya telah merekodkan keterangan daripada penuntut kolej berusia 21 tahun itu kira-kira pukul 8.30 malam.
Katanya, kejadian berlaku semasa wanita itu melalui SJR di Bandar Seri Putra, Bangi dan bukan di Bandar Saujana Putra, Kuala Langat.
“Wanita itu mendakwa dalam perjalanan ke kuliah di sebuah kolej di Sepang yang dijadualkan pukul 6 petang selepas keluar dari rumahnya setengah jam sebelum itu.
“Bagaimanapun, dia masih berada di laluan terbabit pukul 6.15 petang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Jelas beliau, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya esok untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Kosmo! sebelum ini melaporkan polis mengesan seorang wanita yang tular menghina polis berkaitan tindakan SJR dengan mempertikaikan pembukaan hanya satu lorong dalam SJR tersebut. – K!ONLINE














