fbpx

KEDA bela nasib rakyat luar bandar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KU ABD. RAHMAN (dua, kiri) melawat Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) di Sidam Kanan, Kulim baru-baru ini.

SEJAK penubuhannya pada 28 Mei 1981, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah memainkan peranan besar dalam membantu mempercepatkan pembangunan sosio-ekonomi masyarakat dan infrastruktur di Kedah, terutamanya kawasan luar bandar.

Menerusi pembangunan penempatan untuk rakyat termiskin, bantuan ekonomi untuk aktiviti perniagaan kecil, pertanian dan penternakan, KEDA mewujudkan lebih ramai usahawan serta memberi pendidikan kemahiran kepada penduduk kampung.

Kini selepas 40 tahun beroperasi, KEDA berdepan cabaran baharu dalam mencapai objektifnya ketika gelombang pandemik Covid-19 telah mendatangkan cabaran besar buat penduduk luar bandar yang
kebanyakannya tidak bergaji tetap.

Di bawah teraju pengerusinya, seorang teknokrat dan pemegang ijazah doktor falsafah dalam bidang Sains dan Teknologi Polimer, Datuk Dr. Ku Abd. Rahman Ku Ismail, KEDA telah bersedia memainkan peranan lebih luas dalam menjamin kesejahteraan masyarakat luar bandar di Kedah.

Berikut merupakan inti pati temu bual Kosmo! bersama beliau, yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Guar Chempedak dan Ahli Kanan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, berhubung cabaran persekitaran semasa serta usaha yang telah dilakukan dan bakal diambil KEDA untuk membela nasib rakyat serta golongan sasar.

Turun padang menyampaikan sumbangan takaful berkelompok (kemalangan) Kolej KEDA di Sungai Limau, Yan Februari lalu.

KOSMO!: Bagaimana situasi masyarakat luar bandar di Kedah pada hari ini?

KU ABD. RAHMAN: Apabila bercakap mengenai masyarakat luar bandar, kita tidak boleh elak daripada membicarakan isu kemiskinan. Daerah di sebelah timur Kedah seperti Padang Terap, Sik dan Baling mempunyai kawasan luar bandar yang luas dan ramai penduduk di sana, terutamanya yang tinggal di
kawasan pedalaman berada pada paras kemiskinan.

Mereka ini perlu diberi perhatian, kerana itulah banyak projek pembangunan KEDA dilaksanakan di tiga daerah berkenaan.

Majoriti penduduk luar bandar tidak berpendapatan tetap, kebanyakannya terlibat dengan bidang pertanian seperti berkebun, menoreh getah dan bekerja sendiri. Pendapatan mereka tidak menentu
dan pandemik Covid-19 ini menambahkan lagi kesusahan mereka.

Bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di kawasan luar bandar, kerajaan disarankan membangunkan lebih banyak kawasan industri di luar bandar, seperti projek Rubber City di Padang Terap.

Majlis Perasmian Projek Taman Desa Tawakkal PPK Hujung Keton, Pendang melibatkan 57 penerima rumah yang terdiri daripada golongan miskin dan miskin tegar.

Apakah cabaran yang harus ditempuhi KEDA dalam kelangsungan pembangunan masyarakat luar bandar?

Antara cabaran utama yang menjadi perhatian saya adalah pelaksanaan skim bantuan yang menepati keperluan kumpulan sasar serta mampu mendatangkan hasil yang baik kepada penerimanya.

Dengan wabak Covid-19 yang masih melanda, pendekatan terkini perlu diambil dan pelaksanaannya juga perlu pantas. Kita perlu mengenal pasti kemampuan peserta dan kemahiran yang dimiliknya.

Perkara utama ialah memastikan delivery system yang berkesan.

Cabaran seterusnya adalah dalam aspek pembangunan keperluan prasarana di luar bandar. Masih banyak keperluan prasarana dan ameniti sosial yang perlu diambil perhatian seperti jalan-jalan kampung, bekalan air dan premis perniagaan untuk usahawan desa.

KEDA perlu mengenal pasti projek yang harus diberi keutamaan serta memberi impak kepada kumpulan masyarakat teramai.

Saya juga merasakan KEDA perlu meningkatkan usaha publisiti dan hebahan maklumat kepada rakyat, khususnya kumpulan sasar. Bukan setakat mahu mempromosi, malah yang lebih penting adalah supaya
masyarakat sedar mereka ada tempat untuk bergantung harap iaitu KEDA.

Ternakan ikan sangkar antara projek PROSPEK di Sidam Kanan, Kulim.

Apakah strategi yang sedang dirangka untuk masyarakat luar bandar?

Dalam mendepani pandemik, saya merasakan KEDA perlu menjadi salah sebuah agensi pendokong seperti barisan hadapan dalam berhadapan dengan isu-isu berkaitan. Tugas KEDA bukanlah melibatkan
kesihatan, tetapi lebih menjurus kepada peranan sebagai agensi yang memberi sokongan bagi kelangsungan kehidupan.

Bagi tahun 2021, hampir 15 peratus daripada keseluruhan RM47 juta peruntukan pembangunan KEDA akan disalurkan kepada bantuan projek ekonomi rakyat Kedah, misalnya mereka yang dibuang kerja, ketiadaan modal atau kekurangan sumber kewangan untuk meneruskan perniagaan melibatkan hampir semua sektor seperti pertanian, perkhidmatan, makanan dan minuman.

Selain itu, pemerkasaan modal insan dari sudut pendekatan keagamaan juga akan diberi keutamaan. Ia cukup penting dalam melestarikan kemajuan dan ketamadunan negara yang sedang dibina hari ini.

Bertahannya tamadun bergantung kepada kukuhnya pegangan asas jati diri dalam kalangan rakyatnya.

Apa harapan Datuk kepada KEDA dalam meneruskan khidmat dan peranannya?

Kecemerlangan sesuatu agensi itu disumbangkan oleh semua kakitangan yang benar-benar memahami dan menghayati semua objektif, misi, visi dan fungsi.

Saya berharap pengurusan dan warga KEDA akan terus berusaha meningkatkan ilmu dan keupayaan sepanjang masa supaya kemampuan KEDA dalam membangunkan luar bandar terus dipertingkatkan.

Anggaplah khidmat bakti kita kepada penduduk luar bandar sebagai satu ibadah.

Akhir sekali, selamat menyambut ulang tahun KEDA yang ke 40 kepada semua warga KEDA.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI