LONDON – Penyerang sensasi, Harry Kane terus meletakkan beberapa kelab di Liga Perdana Inggeris dalam dilema apabila hanya akan membuat keputusan mengenai masa depannya selepas saingan Euro 2020 berakhir.
Kenyataan Kane yang sudah bersedia meninggalkan Spurs sebelum ini menyebabkan Manchester United, Manchester City dan Chelsea cuba mengintai peluang mendapatkan khidmatnya.
Bagaimanapun, Kane mengakui dia kini berada dalam mood Euro dan enggan fokusnya terganggu kerana isu-isu perpindahannya.
Biarpun sudah terdapat beberapa perbincangan melibatkan kelab dan wakil Kane, pemain itu mengakui tidak akan terlibat dalam sebarang rundingan berkenaan sehinggalah selepas aksi final Euro.
Spurs kini dalam keadaan terdesak untuk membawa masuk bekas jurulatih Inter Milan dan Chelsea, Antonio Conte sebagai umpan untuk memastikan Kane kekal bersama mereka.
Laporan menyebut, Pengerusi Spurs, Daniel Levy sendiri akan turun padang untuk mengadakan perbincangan bersama Conte bagi memujuk jurulatih itu menyertai mereka selepas memiliki reputasi tinggi membantu Inter menjuarai Serie A.
Spurs sebelum ini dilaporkan cuba membawa kembali Mauricio Pochettino yang mengakui tidak gembira bersama Paris Saint-German tetapi gergasi Perancis itu tidak mahu melepaskan khidmatnya yang mempunyai kontrak sehingga Jun 2022.
Keutamaan Spurs kini adalah untuk memastikan Kane terus gembira bersama mereka dan memastikan kelab itu mampu meraih gelaran sesuai dengan keinginan penyerang mereka itu yang menyatakan hasrat untuk berhijrah kerana masih belum merangkul sebarang kejuaraan setakat ini. – AGENSI














