fbpx

Akta 446: 125 kertas siasatan dikenakan tindakan pendakwaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
M. Saravanan meninjau tempat penginapan pekerja asing ketika mengetuai Operasi Pematuhan Akta 446 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di sebuah kilang di Nilai, Seremban hari ini.- FOTO: MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

SEREMBAN – Sebanyak 125 kertas siasatan berhubung perlanggaran pelbagai kesalahan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) telah dikenakan tindakan pendakwaan di Mahkamah Sesyen seluruh negara.

125 pendakwaan itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan 742 kertas siasatan yang dibuka Jabatan Tenaga Kerja (JTK) setakat hari ini dengan kesalahan tersebut dilakukan oleh majikan daripada pelbagai sektor.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M.Saravanan berkata, daripada jumlah itu sebanyak 49 kes pendakwaan telah selesai dengan jumlah denda dibayar sebanyak RM352,000.

“Sebanyak 265 kertas siasatan pula telah diberi izin kompaun yang melibatkan tawaran kompaun berjumlah RM2.3 juta terhadap majikan-majikan yang melakukan kesalahan di bawah Akta 446.

“Kebanyakan kesalahan yang dilakukan ialah kerana menempatkan pekerja di penginapan tanpa perakuan daripada Ketua Pengarah JTK serta tidak mematuhi kehendak minimum atau tidak menyediakan kemudahan asas kepada pekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai Operasi Pematuhan Akta 446 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di sebuah kilang di Nilai di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak kementerian melalui JTK juga akan berterusan melaksanakan pemeriksaan penguatkuasaan Akta 446.

Jelas Saravanan, pada tahun ini, jumlah majikan yang telah diperiksa adalah sebanyak 19,010 yang melibatkan sejumlah 106,593 buah penginapan.

“Dalam hal ini saya harap pihak berkuasa tempatan (PBT) juga perlu memgambil peranan bukan (berharap) pada JTK sahaja, daripada segi penginapan JTK boleh ambil tindakan tetapi daripada segi struktur masih di bawah bidang kuasa PBT,” katanya.

Sementara itu, Saravanan memberitahu, Kementerian Sumber Manusia mempunyai kuasa untuk mengarahkan mana-mana majikan untuk menghentikan operasi mereka sekiranya didapati tidak patuh dengan Akta 446 walaupun mereka mempunyai kebenaran untuk beroperasi dalam sektor perkhidmatan perlu.

“Kementerian Sumber Manusia tidak terlibat (kementerian yang mengawal selia perkhidmatan perlu), kami jalankan aktiviti penguatkuasaan. Kami tidak boleh lulus kemudian kami lakukan penguatkuasaan.

“Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) boleh lulus tetapi kalau tidak patuh dengan Akta 446, kami boleh arahkan mereka tutup,” katanya lagi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI