fbpx

TUDM pintas 16 pesawat tentera China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar sebenar Luyshin LL-76 yang dipintas pesawat TUDUM. - Foto Ihsan TUDM

PETALING JAYA – Sebanyak 16 buah pesawat Tentera Udara milik China iaitu People’s Liberation Army-Air Force (PLAAF) telah dikesan memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia, Kota Kinabalu Flight Information Region (FIR) dan menghampiri ruang udara nasional pada semalam.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad berkata, penerbangan pesawat-pesawat PLAAF tersebut telah dikesan oleh Radar Pertahanan Udara milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) daripada Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada pukul 11.53 pagi.

“Pesawat-pesawat tersebut telah dikesan terbang secara formasi taktikal ‘in-trail’ pada jarak 60 batu nautika di antara satu sama lain dan formasi panjang tersebut juga telah terbang dengan paten dan haluan yang sama menggunakan satu titik laluan masuk dan keluar.

“Mereka kemudiannya didapati mengubah arah penerbangan di ruang udara Beting Patinggi Ali yang berkepentingan kepada negara,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Ackbal, kesemua pesawat tersebut dikesan terbang pada ketinggian di antara 23,000 kaki sehingga 27,000 kaki dengan kelajuan 290 knots melalui Singapore FIR sebelum memasuki ruang Zon Maritim Malaysia (ZMM) Kota Kinabalu FIR.

“Pesawat-pesawat itu seterusnya terbang menghala menghampiri 60 batu nautika daripada pesisir pantai Wilayah Sarawak yang dikhuatiri akan mengancam kedaulatan negara.

“Susulan kejadian itu, pihak TUDM telah meletakkan pesawat Hawk 208 daripada No. 6 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan dalam keadaan siap sedia melalui Operasi Curiga TUDM,” ujar beliau.

Jelas Ackbal, pemantauan menerusi radar pertahanan udara diteruskan ke atas pesawat-pesawat tersebut disamping beberapa percubaan untuk mengarahkan mereka menghubungi kawalan trafik udara Kota Kinabalu FIR.

“Apabila arahan tidak dipatuhi dan didapati melangkaui persempadanan Kota Kinabalu FIR menghala ke ruang udara nasional, TUDM telah melancarkan pesawat-pesawat pemintas pada pukul 1.33 petang untuk melakukan identifikasi visual.

“Hasil daripada pemintasan udara yang dilaksanakan, TUDM telah mengenalpasti pesawat-pesawat tersebut adalah daripada jenis Ilyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20 iaitu pesawat pengangkut strategik yang berupaya melaksanakan pelbagai misi,” katanya.

Ackbal menegaskan, insiden itu merupakan perkara yang serius terhadap ancaman kedaulatan negara dan keselamatan penerbangan berdasarkan kepadatan trafik udara di dalam laluan penerbangan (Airways) di dalam Kota Kinabalu FIR.

“Insiden berkenaan telah dikendalikan oleh TUDM khasnya dan Angkatan Tentera Malaysia amnya berlandaskan undang-undang dan peraturan penerbangan antarabangsa International Civil Aviation Organization (ICAO) serta Strategi Pertahanan Udara Nasional (SPUN).

“Kementerian Luar Negeri telah mengambil maklum tentang perkara ini melalui Kementerian Pertahanan,” ujarnya- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI