fbpx

Agih 3,000 ayam, tiga tan sayur sehari untuk penduduk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sukarelawan mengagihkan ayam, ikan, sayur dan telur kepada penduduk yang terjejas di Tambun bagi meringankan kesukaran yang ditanggung.

IPOH – Sebanyak 3,000 ekor ayam dan 6,000 papan telur telah diagihkan setiap hari sepanjang minggu ini oleh sukarelawan Pejabat Khidmat Rakyat Parlimen Tambun kepada penduduk yang terjejas di kawasan tersebut bagi meringankan kesukaran yang ditanggung.

Turut diagihkan sepanjang tempoh itu ialah kira-kira tiga tan pelbagai jenis sayur-sayuran dan tiga tan ikan.

Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, bantuan ini diberi kepada penduduk susah tanpa mengira keturunan termasuk perkampungan masyarakat Cina di Kampung Baru Kuala Kuang, Kampung RA Chemor, Kampung Baru Changkat Kinding, Kampung Baru Kanthan serta masyarakat India di Batu 5, Tambun.

Menurut beliau, selama tujuh hari barangan seperti ayam, telur, sayur kobis dan ikan diedarkan kepada rakyat Parlimen Tambun yang tidak berkemampuan manakala proses agihan berjalan lancar mengikut pematuhan yang ditetapkan.

“Kita tahu pasti ada golongan yang sedang susah, kais pagi makan pagi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ini.

“Semoga usaha ini dapat membantu meringankan beban rakyat Parlimen Tambun yang memerlukan dan pada masa sama kekal mematuhi kawalan demi memutuskan rantaian wabak ini,” ujarnya.

Sebahagian besar daripada kos penyediaan bekalan bahan mentah ini adalah menerusi peruntukan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tambun.

Manakala sebanyak RM3,000 pula diterima menerusi subsidi daripada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP).

Jelas Ahmad Faizal, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tambun juga mengucapkan jutaan terima kasih pada para penyumbang yang turut sama membantu dalam usaha menyediakan bekalan barang-barang berkenaan kepada golongan yang memerlukan di kawasan Parlimen tersebut.

“Insyallah, kita akan teruskan agihan bantuan ini selepas tamat tempoh PKPD yang akan bersambung dengan PKP sekatan pergerakan penuh agar tiada penduduk susah yang tidak dibantu,” ujarnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI