fbpx
MUHAMMAD NAZRIN sedia mengambil dan menghantar kucing ke lokasi yang dikehendaki pelanggan.

Teksi untuk ‘si bulus’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUCING baka British Shorthair berwarna kelabu itu diletakkan dengan penuh berhati-hati di dalam sebuah sangkar berjaring.

Sambil menjinjing sangkar berwarna merah tersebut, Muhammad Nazrin Supian, 29, berjalan dengan cermat menuju ke keretanya sebelum meletakkan sangkar atau carrier box berisi kucing itu di bahagian but belakang kenderaan bersama beberapa ekor kucing di dalam sangkar yang lain.

Kesemua kucing tersebut pada hari itu bakal dihantar Muhammad Nazrin ke beberapa tempat di sekitar Lembah Klang sama ada kembali ke pangkuan pemiliknya, pembeli kucing baharu atau dihantar ke klinik haiwan.

Sejak setahun lalu, ia antara rutin harian anak kelahiran Trolak, Perak itu selepas dia mengambil keputusan untuk menawarkan perkhidmatan pet taxi (teksi haiwan).

Teksi haiwan merupakan perkhidmatan penghantaran atau pengangkutan haiwan peliharaan terutama kucing bagi pelbagai tujuan misalnya menghantarnya kepada ahli keluarga yang lain, pembelian kucing, bertemu doktor veterinar dan sebagainya.

Berkongsi lanjut kepada K2 mengenai pembabitannya dalam menawarkan perkhidmatan berasaskan haiwan itu, Muhammad Nazrin berkata, segalanya bermula pada tahun 2018 apabila dia mengambil keputusan menjalankan perniagaan membiak kucing berbaka di rumah sewanya.

MUHAMMAD NAZRIN (kiri) bersama salah seorang pelanggan yang mendapatkan khidmatnya Muhammad Aqim (kanan).

Biarpun pada waktu itu graduan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ini telah menjawat jawatan selesa sebagai jurutera bantuan teknikal, namun dia melakukan perniagaan membiak kucing secara sambilan.

Pun begitu, kerana mahu mencabar diri, Muhammad Nazrin nekad berhenti kerja sewaktu penularan pandemik Covid-19 pada Mac tahun lalu bagi memfokuskan aktiviti tersebut sepenuh masa.

Antara kucing yang dibiakkannya adalah daripada baka British Shorthair, British Longhair, Scottish Fold dan Munchkin yang dijual pada harga antara RM1,500 hingga RM8,000.

Semakin hari, perniagaan membiak kucingnya semakin dikenali dan ramai dalam kalangan pembelinya berada di luar Lembah Klang. Bermula dari situ, Muhammad Nazrin menyedari dia memerlukan perkhidmatan penghantaran kucing agar haiwan itu sampai kepada pembeli dengan selamat.

“Sebenarnya sewaktu saya mula menawarkan perkhidmatan pet taxi, perkhidmatan seumpamanya telah wujud tetapi tidak ramai yang ceburi. Jadi, saya nampak ada peluang untuk menceburi bidang pet relocation ini supaya saya sendiri dapat menghantar kucing-kucing yang dibiakkan kepada pembeli. Dengan itu juga, saya dapat memudahkan pembeli atau penjual lain menerusi perkhidmatan yang ditawarkan,” kongsinya.

Dikenali sebagai perkhidmatan Ayen Pet Mover (APM), menurut Muhammad Nazrin, perniagaan melibatkan perkhidmatan mengambil dan menghantar haiwan dari pintu ke pintu itu telah didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

MUHAMMAD NAZRIN menceburi perkhidmatan ini sejak tahun lalu.

Menerusi perkhidmatan ditawarkan, pemilik kucing tidak perlu lagi bimbang akan keselamatan haiwan peliharaan mereka mahupun memikirkan platform pengangkutan bersesuaian untuk membawa kucing dari satu lokasi ke satu lokasi yang lain memandangkan semuanya diurus dengan baik.

Buat masa ini, APM hanya memfokuskan penghantaran kepada pelanggan yang berada di sekitar Semenanjung Malaysia.

Sama seperti menggunakan teksi bagi manusia biasa, individu hanya perlu membuat tempahan mengikut trip (perjalanan) yang diinginkan sebelum kucing tersebut diambil dan dihantar ke destinasi dituju.

“APM beroperasi setiap hari tetapi dalam waktu yang terhad iaitu dari pukul 7 pagi hingga 10 malam.

“Caj yang dikenakan kepada pelanggan pula berbeza mengikut lokasi dan jarak destinasi yang dituju. Kebiasaannya caj bermula dari RM50 hingga RM350,” katanya.

Ternyata, perkhidmatan ini mendapat sambutan yang begitu menggalakkan dari masyarakat pelbagai kaum. Selain di sekitar Lembah Klang, Muhammad Nazrin juga sering menerima khidmat penghantaran ke negeri-negeri lain apatah lagi semasa kegiatan rentas negeri tidak dibenarkan.

Tambahnya yang berpusat di Subang Jaya, Selangor setakat ini lokasi penghantaran paling jauh yang dilakukannya adalah dari Perlis terus ke Johor. Muhammad Nazrin telah berjaya membuat lebih 80 trip penghantaran dengan turut dibantu seorang anak saudaranya.

Bagi setiap trip, jumlah maksimum carrier box yang boleh dimuatkan di dalam kenderaanya hanya tujuh bagi memastikan keselesaan haiwan tersebut.

Biarpun perkhidmatan tersebut dikhususkan untuk kucing, namun APM turut menerima burung dan arnab atas permintaan pelanggan.

KUCING baka British Shorthair antara kucing yang dibiakkan Muhammad Nazrin.

Paling mencabar dalam melaksanakan perkhidmatan ini, jelas Muhammad Nazrin ialah perjalanan membawa haiwan dalam tempoh yang agak lama memandangkan ia berpotensi membuang najis di dalam kenderaan. Justeru kerja-kerja pembersihan perlu dilakukan serta-merta demi keselesaan haiwan tersebut.

“Pengangkutan haiwan lebih kurang sama seperti manusia dan ada risiko yang perlu dihadapi sekiranya berlaku perkara tidak diingini. Bagi kucing, apa yang saya lakukan ialah sentiasa memastikan haiwan dalam keadaan selesa dengan diletakkan di dalam carrier box selain menyediakan air jika perjalanan melebihi dua jam. Carrier box pula perlu dibersihkan sebelum kucing dimasukkan bagi mengelakkan sebarang penyakit berjangkit seperti fungus, kurap atau kutu,” terangnya.

Paling ditekankan pihaknya adalah tidak akan membawa kucing berpenyakit kritikal seperti FIP, Parvo dan Sporo kerana ia sangat serius dan boleh menjangkiti kucing-kucing lain yang berada di dalam kereta.

Dalam pada itu, kesibukan tugas harian sebagai polis bantuan menyebabkan Muhammad Aqim Arrian Shazlee Abdul Hakim, 31, mengambil keputusan mendapatkan khidmat APM.

Berpuas hati perkhidmatan yang ditawarkan sejak pertama kali mencubanya, anak kelahiran Selangor yang juga merupakan pembiak kucing itu kini menjadi pelanggan tetap yang telah menggunakan khidmat tersebut sebanyak lima kali.

“Saya mengetahui mengenai perkhidmatan ini menerusi aplikasi Facebook Ayen Pet Mover. Biasanya khidmat digunakan jika saya ingin menghantar kucing yang dijual kepada pembeli pada jarak jauh.

“Sejak PKP yang mana rentas negeri atau daerah tidak dibenarkan, ia membuatkan saya semakin kerap menggunakan servis ini bagi mengambil dan menghantar kucing-kucing kepada pelanggan.

“Ia lebih mudah, menjimatkan kos dan selamat,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN