fbpx

Kes aktif boleh cecah 100,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DUA kakitangan kesihatan di wad kecemasan Hospital Putrajaya hanya mampu berehat di lantai jalan untuk menghilang kepenatan mengurus pesakit Covid-19 yang semakin ramai semalam. – FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Malaysia bakal berdepan krisis kesihatan terburuk dalam sejarah dengan lebih banyak angka kematian direkodkan sekiranya trend pe­ningkatan kes jangkitan harian gagal dikawal dalam tempoh dua minggu ini.

Lebih memburukkan keada­an apabila pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dikuatkuasakan masih gagal mencapai matlamat untuk menurunkan kes harian.

Untuk rekod, data yang dikeluar­kan Johns Hopkins University CSSE Covid-19 pada 25 Mei lalu meletakkan Malaysia dalam kedudukan teratas di dunia dari segi kes positif harian berdasarkan nisbah penduduk.

Mengikut data berkenaan, purata kes harian seminggu bagi Malaysia ialah 205 kes untuk satu juta penduduk, diikuti Perancis (156 kes) dan India (150 kes).

Menurut Pakar Perubatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh, negara berkemungkinan mencatat jumlah kes aktif mencecah 100,000 dalam tempoh dua hingga tiga minggu akan datang sekiranya PKP 3.0 gagal dilaksanakan dengan lebih ketat.

Katanya, pelaksanaan PKP 3.0 yang dilihat masih longgar ketika ini meletakkan negara dalam kancah krisis kesihatan dengan jangkaan kes positif ha­rian sebanyak 10,000 kes.

Katanya, lebih banyak kematian akan dicatat, manakala peningkatan kadar jangkitan berbanding sembuh akan berlaku.

“Ekoran PKP kali ini tidak terlalu ketat, ia menyebabkan orang ramai masih tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Semua harapkan PKP dapat menghalang kenaikan kes positif Covid-19. Kita kena tengok bila­ngan kes baharu setiap hari, tetapi sekiranya trend sama masih berulang, maka 100,000 kes aktif itu mungkin berlaku,” katanya kepada Kosmo!.

Berdasarkan data terbaharu Kementerian Kesihatan (KKM), jumlah kes aktif sehingga semalam telah mencecah 72,823 dengan jumlah kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebanyak 808 dan 403 pesakit menerima alat bantuan pernafasan.

Kes jangkitan harian pula merekodkan jumlah tertinggi sejak pandemik melanda negara ia­itu sebanyak 8,290 kes, manakala angka kematian ke­seluruhan adalah seramai 2,552 orang.

Dalam pada itu, Dr. Sharifa Ezat turut menasihati golongan positif Covid-19 untuk berhenti me­rokok atau menggunakan vape kerana ia akan membuatkan pe­nyakit mereka semakin teruk.

“Setakat 28 Mei, data KKM menunjukkan 403 daripada 808 pesakit di ICU memerlukan ban­tuan oksigen.

“Sudah berlaku di mana kes-kes yang dima­sukkan ke wad adalah dalam kalangan pesakit yang sukar bernafas dan memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, bukan semua kes memerlukan bantuan pernafasan seperti mereka yang ditempatkan di Pusat Kua­rantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).

Mengulas lanjut, Dr. Sharifa Ezat berkata, kes brought-in-dead (BID) iaitu kes kematian di luar hospital juga dijangka me­ningkat akibat daripada beberapa faktor termasuklah akses pengangkutan bagi pesakit untuk dibawa mendapatkan rawatan.

“Kes juga mungkin mempu­nyai komorbiditi lain yang memudahkan jangkitan bertukar menjadi parah dalam masa singkat atau dijangkiti varian baharu yang lebih ganas sebelum sempat di bawa ke hospital,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia, Datuk Dr. Kuljit Singh pula berkata, orang ramai perlu mematuhi SOP PKP 3.0 bagi memastikan kelompok pembawa senyap virus Covid-19 tidak menjangkiti orang lain.

Katanya, peningkatan kes jangkitan hanya akan membebankan pihak hospital kerana ia meningkatkan lagi penggunaan katil serta tangki oksigen.

“Kita tidak boleh biarkan kes berterusan meningkat, jika keada­an ini berlaku, banyak sektor ekonomi akan ditutup dengan sesetengah daripadanya mengambil masa yang lama untuk pulih.

“Kita mahu rakyat ada pendapatan tetapi pada masa sama kes menurun, justeru itu, rakyat digesa untuk terus menjaga SOP untuk mengelak dijangkiti,” kata­nya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI