fbpx

Dua ‘transporter’ rentas perairan bawa syabu RM400,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua lelaki warga Indonesia ditahan ketika cuba menyeludup dadah melalui perairan Kuala Linggi, Melaka.

ALOR GAJAH – Cubaan dua ‘transporter’ warga Indonesia menyeludup keluar dadah bernilai RM400,000 menggunakan laluan laut gagal apabila mereka dicekup di perairan Kuala Linggi, awal pagi tadi.

Kedua-dua suspek berusia 34 dan 43 tahun itu dicekup di kedudukan kira-kira 11.6 batu nautika Barat Daya Tanjung Dahan, pada pukul 2.30 pagi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, sepasukan unit peronda Operasi Belangkas 3/2021 bertindak mengejar bot fiber dinaiki suspek selepas dikesan berada dalam keadaan mencurigakan.

“Bot tanpa nombor pendaftaran menggunakan enjin 60 kuasa kuda itu berjaya ditahan dan pasukan mendapati ia telah dikendalikan oleh dua lelaki warga Indonesia yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

“Penggeledahan lanjut ke atas bot telah membawa kepada penemuan 10 bungkusan teh berwarna hijau disyaki mengandungi dadah jenis syabu seberat kira-kira 10 kilogram bernilai RM400,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kesemua dadah tersebut telah disembunyikan oleh suspek di dalam bekas plastik di bot tersebut.

“Kita percaya kesemua dadah itu ingin diseludup keluar ke Indonesia melalui perairan Kuala Linggi. Bagaimanapun, kita masih menyiasat dari mana mereka mengambil bekalan tersebut,” katanya.

Tambahnya, kesemua dadah dan bot fiber bernilai kira-kira RM50,000 itu telah dibawa ke Jeti Maritim Kuala Linggi untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Melaka dan Negeri Sembilan.

Katanya, kes tersebut akan disiasat di bawah seksyen 39 (b) Akta Dadah Berbahaya1952 dan Seksyen 5 Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI