fbpx

28 kompaun langgar SOP dalam tempoh dua hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Beberapa individu yang tidak memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam dikompaun, semalam. /FOTO IHSAN IPD PASIR MAS

PASIR MAS – Polis mengeluarkan sebanyak 28 kompaun kepada individu yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di tempat awam di daerah ini ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang lebih ketat dilaksanakan sejak kelmarin.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, daripada jumlah itu, kesalahan tidak memakai pelitup muka mencatatkan jumlah terbanyak iaitu 11 kompaun.

Katanya, daripada jumlah keseluruhan, lapan kompaun turut dikeluarkan akibat kesalahan tiada penjarakan fizikal dalam Op Covid 3.0 yang dijalankan di seluruh daerah ini.

“Selain itu, tujuh kompaun dikeluarkan akibat tidak mengimbas rekod kehadiran menggunakan aplikasi MySejahtera dan dua lagi melibatkan kesalahan merentas daerah tanpa dokumen sah.

“Ia menjadikan jumlah keseluruhan yang dikeluarkan sepanjang tempoh dua hari adalah sebanyak 28 kompaun,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Mohd. Nasaruddin memberitahu, pemeriksaan mengejut akan dilakukan bagi memastikan pematuhan SOP dalam kalangan masyarakat terus meningkat. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI