fbpx

Selangor pertimbang saringan Covid-19 rumah ke rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SHAH ALAM – Kerajaan negeri mempertimbangkan untuk melakukan saringan percuma Covid-19 dari rumah ke rumah dalam usaha memastikan lebih ramai rakyat di Selangor menyertai program berkenaan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bagaimanapun buat masa ini, cadangan itu masih belum dapat dilakukan kerana ia memerlukan penglibatan ramai pihak dengan jumlah sukarelawan yang tinggi.

Justeru katanya, kerajaan negeri kini akan memberi tumpuan kepada saringan di satu-satu tempat atau lokaliti tertentu.

“Secara keseluruhannya, sambutan orang awam terhadap program saringan percuma ini amat memberangsangkan dan semalam sahaja, seramai 5,000 orang hadir dalam saringan di Subang jaya. Jumlah tersebut adalah paling besar dapat dikumpulkan setakat ini.

“Semalam juga, kita dapat menjalankan saringan menerusi pandu lalu walaupun sehingga 3.30 hingga 4 petang sahaja namun dapat mempercepatkan proses dan mengurangkan risiko-risiko jangkitan disebabkan perkumpulan orang ramai,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan tabung kemanusian Selangor Prihatin di kediaman rasminya di Seksyen 7, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kebimbangan segelintir orang ramai menyertai saringan percuma Covid-19 yang sedang dijalankan kerajaan negeri di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) berhubung keberadaan pembawa senyap virus itu yang tidak menunjukkan sebarang simptom.

Beliau memberitahu, sambutan juga diterima daripada golongan masyarakat Melayu yang sedar akan kepentingan saringan tersebut berbanding sebelum ini.

“Jika sebelum ini, sambutan di kawasan bukan Melayu namun kini melibatkan lokaliti Hulu Klang, Kuang, Sungai Tua, Gombak yang majoritinya orang Melayu beramai-ramai datang.

“Sehubungan itu, saya percaya ini petanda signifikan ada kesedaran tinggi untuk menyemak dan menjaga keadaan mereka di samping mengikut saringan yang ditawarkan kerajaan negeri,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau menaruh keyakinan mampu mencapai sasaran seramai 50,000 individu dalam program tersebut.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI