fbpx

Pucuk dicita, ulam mendatang – Tok Mat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHMAD dijangka membuat sidang akhbar mengenai masa depan PSM sama ada hari ini atau esok.

“BAGAI pucuk dicita, ulam mendatang,” kata Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail susulan tindakan keras Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) menyingkirkan badan induk sepak takraw negara kelmarin.

Sehari sebelum prosiding tersebut, PSM membuat keputusan tidak hadir pada pendengaran yang diadakan secara maya tersebut, namun Astaf tetap menjalankan sesi itu dan sebulat suara menjatuhkan hukuman apabila mendapati PSM bersalah.

Astaf mendapati PSM melanggar perjanjian bertulis kepada Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dan Astaf pada 14 Mac 2008.

“Terima kasih Encik Halim (Presiden Astaf), tunggu dan lihat strategi kami selanjutnya,” kata Ahmad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat kepada Kosmo! semalam.

Ketika ini, Ahmad menerima tekanan hebat daripada ahli gabungan PSM apabila lapan persatuan sepak takraw di peringkat negeri mengumumkan keluar daripada naungan badan induk berkenaan.

Terbaharu, Persatuan Sepak Takraw Negeri Sarawak (PSS), Persatuan Sepak Takraw Pe­rak (Persedar) dan Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (Pestans) membuat keputusan menarik diri daripada PSM selepas memutuskan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan badan induk sepak takraw negara itu.

Sebelum itu, lima badan nau­ngan PSM iaitu Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak), Persatuan Sepak Takraw Johor (PSNJ),Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS), Persatuan Sepak Takraw Negeri Kedah (Pestak) dan Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSNT) terlebih dulu berbuat demikian.

“Insya-Allah, pada Ahad atau Isnin nanti saya akan buat satu sidang akhbar bagi mengumumkan perkara itu,” ujarnya.

Sebelum ini Astaf melalui Jawatankuasa Eksekutifnya sebulat suara memilih untuk meneruskan prosiding tatatertib terhadap PSM kerana melanggar perjanjian.

Ia kerana PSM dan presidennya, Ahmad Ismail atau dikenali sebagai Tok Mat tidak mengikut perjanjian untuk mematuhi objektif Istaf dan perlembagaan Astaf.

Ahmad Ismail sebelum ini digantung 15 tahun dan didenda AS$25,000 (RM102,900) selepas didapati bersalah dalam empat pertuduhan termasuk pelanggaran Artikel 5.5 undang-undang ASTAF iaitu menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa untuk meminta campur tangan keputusan pemilihan Kongres Astaf pada 1 Mac lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI