fbpx
DEMI jenama Search, Amy bersama Nasir dan waris Yazit akan bertindak tegas terhadap pihak yang menyalahgunakan nama band mereka.

Isu salah guna jenama, Search beri tempoh 7 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Anggota Search, Amy, Nasir Daud dan waris Yazit Ahmad memberikan tempoh tujuh hari kepada seorang individu menghentikan semua kegiatan perniagaan atau penjualan barangan berkaitan kumpulan itu.

Pemain bass kumpulan legenda itu, Nasir berkata, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang andai individu berkenaan masih berdegil menyalahgunakan nama Search tanpa kebenaran.

“Jika gagal dalam tempoh diberikan, kami akan mendapatkan nasihat guaman dan memulakan tindakan undang-undang,” katanya menerusi sidang media secara dalam talian, malam tadi.

Sidang media menerusi Instagram itu turut disertai anak Allahyarham Yazit, Shahmirnuri, 36.

Menerusi sesi berkenaan, Search mendakwa individu dimaksudkan menjalankan perniagaan menggunakan nama Fenomena Search dan imej berkaitan kumpulan terbabit menjual pakaian dan aksesori lain termasuk kasut Aliph edisi terhad.

Ditanya mengenai pembabitan dua lagi rakan mereka, Nordin dan Kid memandangkan kedua-duanya rapat dengan individu itu, Nasir meminta media mengajukan persoalan sama kepada dua adik-beradik itu.

Sementara itu, Amy selaku vokalis Search menegaskan banyak butiran perlu diperincikan sebelum kebenaran diberi yang membolehkan nama Search digunakan untuk sesuatu tujuan selain mendapat persetujuan semua anggota.

“Selama ini, kami jaga nama dan penjenamaan kumpulan. Ini tak ada kena mengena dengan isu salah faham atau bergaduh tetapi kami mahu memperbetulkan apa yang tidak betul.

“Jangan nanti apabila semua sudah tiada, waris-waris bertelagah, pihak luar pula ambil kesempatan. Sebab itu kami kena bertegas dengan hak kami dan perjelaskan semua dari sekarang.

“Saya terangkan sekali lagi untuk kebaikan semua kerana kami juga mahu melindungi hasil kerja yang sudah dimulakan sejak awal penubuhan Search,” katanya.

Pada masa sama Amy atau nama sebenar, Suhaimi Abdul Rahman, 62, mengesahkan tidak tahu mengenai keuntungan yang dikaut individu bernama Mozylir Mokhtaruddin dan Home Of Champions menerusi hasil jualan atau kegiatan menggunakan nama Search.

Search menerbitkan album studio terakhir pada 2017 berjudul Katharsis membabitkan Amy, Nasir, Nordin dan Kid manakala Yazit tidak dapat bersama mereka disebabkan kesihatan.

Namun mereka sepakat dan setuju untuk mengagihkan hak Yazit daripada album berkenaan serta hasil kerjanya dalam Search sejak 1981 kepada warisnya.

Bagi Shahmirnuri, dia dan keluarganya mendapatkan nasihat peguam kerana hanya mahu menuntut dan melindungi hak arwah bapanya.

“Kami langsung tidak dimaklumkam mengenai jualan menggunakan nama Search. Saya juga tidak menerima panggilan mahu pun meminta izin atau seumpamanya.

“Kami bukan tidak membenarkan anggota lain menggunakan jenama Search. Kami boleh mengizinkan tetapi dengan persetujuan bersama.

“Bukannya tidak pernah buat, sebelum ini. Saya tidak kisah untuk projek baharu, memandangkan arwah sudah tiada, itu terpulang pada anggota lain,” katanya.

Yazit yang juga pengasas Search menghembuskan nafas terakhir pada 26 September 2019 disebabkan komplikasi pelbagai penyakit. – K! ONLINE

POPULAR