fbpx

PKPD UTM: MKN ambil alih kawalan di kampus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MKN akan mengambil alih kawalan di kampus UTM Skudai, Johor Bahru, Johor bermula 21 Mei hingga 3 Jun ini. - Foto kredit Study Malaysia Info

JOHOR BAHRU – Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengambil alih sepenuhnya proses kawalan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bermula 21 Mei ini ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) yang dilaksanakan di kampus berkenaan.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata, pengurusan universiti akur dengan arahan itu yang akan berkuat kuasa bermula esok hingga 3 Jun ini.

Jelas beliau, keputusan itu dibuat berikutan peningkatan kes jangkitan Covid-19 yang direkodkan berlaku di dalam kampus UTM Johor Bahru.

“Sehingga kini, 49 kes positif Covid-19 direkodkan daripada 346 ujian saringan yang dijalankan dengan kadar positiviti tinggi iaitu 14.2 peratus.

“Pelaksanaan PKPD ini merupakan tindakan terbaik bagi mengekang penularan wabak dan memberi ruang kepada Kementerian Kesihatan melaksanakan proses sanitasi dan pengesanan kontak terhadap kes yang dilaporkan di kampus,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, jangkitan telah menular di beberapa kolej kediaman lain selepas 49 kes positif dikesan melibatkan penghuni dari lima buah kolej dan pusat kesihatan.

“Sejumlah 346 ujian saringan dilakukan di lokaliti terbabit meliputi Kolej Datin Seri Endon, Kolej Tun Hussein Onn, Kolej Tun Dr. İsmail, Kolej 9, Kolej 10 dan Pusat Kesihatan,” ujarnya.

Tambah Ahmad Fauzi, keperluan asas dan kebajikan seluruh warga kampus seperti agihan makanan dan barangan keperluan akan diuruskan pihak MKN.

“Bagaimanapun, pengurusan universiti masih merupakan pemegang amanah utama terhadap kebajikan dan kesejahteraan seluruh warga kampus.

“Universiti akan menggerakkan usaha bantuan berterusan kepada warga kampus yang terkesan bagi memastikan segala keperluan dan kebajikan warga kampus terjamin,” jelasnya.

Ahmad Fauzi turut menyeru warga kampus agar kekal tenang dan terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan pihak kerajaan.

“Orang ramai juga diingatkan untuk tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak sahih berkaitan penularan wabak ini,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI